COVID-19: HTJ tukar beberapa wad biasa kepada separa ICU

Astro Awani
Mei 14, 2021 17:39 MYT
Langkah itu diambil berikutan katil di wad ICU HTJS hampir penuh. - Gambar/ Facebook/ Hospital Tuanku Ja'afar Seremban
SEREMBAN: Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini menukar fungsi beberapa buah wad biasa kepada wad separa Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi menampung peningkatan kes COVID-19 kritikal yang memerlukan mesin bantuan pernafasan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata langkah itu diambil berikutan katil di wad ICU hospital berkenaan hampir penuh.
Buat masa ini, terdapat dua hospital COVID-19 di Negeri Sembilan iaitu HTJ dan Hospital Tampin.
"HTJ mempunyai 10 katil ICU untuk menempatkan pesakit COVID-19 yang kritikal manakala Hospital Tampin ada empat katil dan di Tampin ini kita akan tambah empat lagi katil ICU," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, setakat ini kedua-dua hospital berkenaan menggunakan mesin bantuan pernafasan sedia ada dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan telah memohon mesin tambahan daripada Kementerian Kesihatan.
Dalam pada itu, Veerapan berkata Hospital Rembau kini tidak lagi menempatkan pesakit COVID-19, sebaliknya hanya merawat pesakit biasa.
Setakat semalam, sebanyak 100 kes baharu COVID-19 dilaporkan di Negeri Sembilan menjadikan kes kumulatif sebanyak 20,248 kes.
#HTJ #HJTS #Seremban #wad biasa #Ditukar #separa ICU #peningkatan kes #Exco Kesihatan #S Veerapan
;