COVID-19: Hospital Sungai Buloh bakal ditukar semula kepada status hibrid - Khairy
Eton Khir
Februari 25, 2022 17:36 MYT
Februari 25, 2022 17:36 MYT
PETALING JAYA: Hospital Sungai Buloh (HSB) dijangka bertukar kepada status hibrid dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan tersebut akan dibuat berdasarkan perkembangan dan pemantauan terhadap penularan jangkitan COVID-19 dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Jelasnya lagi, usaha tersebut dilaksanakan bagi membolehkan hospital itu merawat kes-kes selain COVID-19 yang tertangguh sebelum ini.
"Kita harus melihat kepada kemasukkan hospital kes-kes COVID-19 terdahulu dan buat masa ini meskipun kes-kes kemasukkan meningkat namun majoriti kepada kes berkenaan tidak memerlukan rawatan ICU, hanya ‘step-down care’, dan rawatan.
“Jika kita lihat ini berterusan dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang, kita boleh tukar semula status Hospital Sungai Buloh (daripada hospital COVID-19 sepenuhnya) kepada hibrid," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kompleks Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) di HSB pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Bahagian Kejuruteraan KKM, Tauran Zaidi Ahmad Zaidi dan Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Kuldip Prem Singh.
Untuk rekod, HSB ditukar status daripada hibrid kepada hospital penuh COVID-19 sejak pandemik bermula.
Sementara itu, Khairy berkata projek MRI yang dirasmikan itu menelan belanja RM7.5 juta melibatkan naik taraf peralatan dan sistem terkini bagi menggantikan peralatan lama yang telah berusia 17 tahun.
Katanya, bagi projek naik taraf di lapan wad PKKN itu juga dapat membantu menampung pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan oksigen pada masa ini.