COVID-19: Hishammuddin jalani rawatan, pemantauan di HAT Tuanku Mizan

Astro Awani
Februari 23, 2022 10:02 MYT
Pejabat Menteri Kanan Pertahanan memaklumkan semalam, Hishammuddin disahkan positif COVID-19 dan sedang menjalani tempoh kuarantin yang ditetapkan KKM. - Foto Fail / Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kini dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan selepas disahkan positif COVID-19 semalam.
Menerusi satu kenyataan, Hishammuddin berkata beliau ketika ini mengalami gejala namun berada dalam keadaan yang baik.
“Bagi memastikan tahap kesihatan saya terus berada pada tahap memuaskan, saya telah dinasihatkan agar menjalani isolasi di HAT Tuanku Mizan bagi tujuan rawatan dan pemantauan,” katanya.
Beliau pada masa sama memohon maaf kerana tidak dapat membalas semua kiriman ucapan dan doa yang diterimanya.
“Namun bagi pihak ahli keluarga, saya amat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat serta mendoakan kesembuhan saya.
“Semoga ia dimakbulkan oleh Allah SWT,” katanya.
Pejabat Menteri Kanan Pertahanan dalam kenyataan semalam memaklumkan, Hishammuddin yang telah menerima dos penggalak disahkan positif COVID-19 dan menjalani tempoh kuarantin yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau menjalani ujian pengesanan COVID-19 jenis RT-PCR secara berkala selain turut kerap melakukan ujian pengesanan secara kendiri melalui kaedah RTK Antigen.
Kali terakhir beliau menjalani ujian pengesanan jenis RT-PCR dan mendapat keputusan negatif COVID-19 ialah pada Jumaat, 18 Februari lepas.
#Hishammuddin Hussein #COVID-19 #HAT Tuanku Mizan #rawatan COVID-19
;