COVID-19: Hina polis di Facebook, mekanik didenda RM8,000

Adie Sufian Zulkefli
Mac 25, 2020 14:45 MYT
Mohd Fathi Hasan, 32, dari Kubang Pasu turut berdepan hukuman penjara empat bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.
Seorang mekanik dijatuhi hukuman denda RM8,000 oleh Mahkamah Seksyen Alor Setar hari ini atas kesalahan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Facebook pada 21 Mac lalu.
Mohd Fathi Hasan, 32, dari Kubang Pasu turut berdepan hukuman penjara empat bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.
Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Seksyen Juraidah Abas selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) dengan niat menginaya orang lain.
Mengikut pertuduhan, Mohd Fathi dengan niat menginaya anggota PDRM dengan memuat naik status di media sosial dengan mengeluarkan kenyataan menghina polis yang menjalankan tugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan, di Jitra, Kedah pada jam 7 malam 21 Mac lalu.

Tertuduh melakukan perbuatan itu melalui aplikasi Facebook membuat penghantara komunikasi jelik mengatakan “Berok Mari Pulok Doh” berserta gambar anggota polis yang bertugas.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Zubaidah Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, gambar anggota polis yang dimuat turun dalam status lelaki itu dikatakan datang ke tempat itu untuk mengarahkan orang ramai yang dipercayai berhimpun di situ supaya bersurai disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa ekoran penularan wabak COVID-19.

Tertuduh ditahan di rumah sewanya di Taman Desa Murni.

#Alor Setar #coronavirus #COVID-19 #Facebook #hina polis #koronavirus #Kubang Pasu #Malaysia #PDRM #polis #Polis Diraja Malaysia
;