COVID-19: Henti berpolitik, bersatu lawan COVID-19 - Hishamuddin Rais
Astro Awani
Mac 31, 2020 14:12 MYT
Mac 31, 2020 14:12 MYT
Semua pemimpin politik baik dari parti kerajaan atau pembangkang perlu bersatu melawan penularan wabak COVID-19, kata aktivis sosial Hishamuddin Rais.
Hishamuddin berkata beliau yakin hanya pendekatan Barisan Bersatu (United Front) Malaysia mampu mengalah penularan wabak COVID-19.
Katanya, pemimpin politik sama ada dari pihak kerajaan dan pembangkang perlu mengelakkan dari membuat kenyataan yang memperlekeh musuh politik.
"Jangan ada niat untuk ‘tunjuk pandai – tunjuk bijak’ ketika melawan virus ini. Dalam suasana memerangi virus ini rakyat tidak perlu politikus.
"Rakyat mahu politikus jangan berpolitik, tapi bersatu memimpin orang ramai melawan virus ini hingga tumpas. Rakyat mahu kehidupan mereka dikembalikan saperti sedia kala," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, ketika negara berdepan krisis seperti COVID-19 ini, semua parti perlu menjauhkan dari tindakan politik yang akan melahirkan pergesaran.
Beliau juga menasihatkan kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan tidak banyak melakukan aksi politik seperti menggantikan ahli majlis PBT, membuang ketua kampung dan sebagainya.
Hishamuddin juga mengingatkan pemimpin parti tidak kira menteri atau pegawai kerajaan agar tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai.
"Wajib disedari semua kenyataan yang kurang arif , kurang bijak dan tidak ilmiah dari pimpinan parti, dari menteri, pegawai kerajaan, dari ketua agama, NGO atau sosok pembuat pandangan akan mengelirukan orang ramai.
"Perkara yang tidak betul jangan dilakukan. Perkara yang tidak diketahui, tidak arif jangan dilaporkan," katanya lagi.
Beliau turut menggesa kerajaan persekutuan dan negeri bercakap benar dan memberi maklumat yang tepat kepada orang ramai.
"Ancaman dan menakut-nakutkan orang ramai bukan sesuatu yang bijak. Bercakap benar adalah bijak.
"Kebenaran akan melahirkan keyakinan orang ramai. Keyakinan orang ramai ini amat-amat penting pada ketika ini. Dengan keyakinan dan kepercayaan orang ramai kepada kerajaan, maka arahan kerajaan senang dipatuhi," katanya.
Hishamuddin seterus menyeru semua rakyat Malaysia tidak kira tua atau muda, miskin atau kaya agar bersatu berdepan musuh yang satu iaitu COVID-19.
"Justeru pendekatan menggalang barisan bersatu yang ampoh adalah kewajipan kita bersama," jelas beliau.
Sehingga 30 Mac, Malaysia telah mencatat 37 kes kematian dengan 2,626 kes positif akibat wabak COVID-19.
#Barisan Bersatu
#berdepan
#COVID-19
#Hishamuddin Rais
#lawan
#musuh
#parti politik
#rakyat
#United Front