COVID-19: Harga COVAX letakkan Malaysia dalam dilema

Ridauddin Daud
Oktober 1, 2020 11:37 MYT
Data daripada beberapa ujian klinikal vaksin COVID-19 yang berada pada fasa ketiga, dijangka dianalisa pada hujung tahun ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Harga vaksin COVID-19, COVAX yang tinggi meletakkan Malaysia kini berada dalam keadaan dilema memandangkan kewangan negara masih terhad.
Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Universiti Malaya, Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, vaksin itu juga sehingga kini masih belum diluluskan malah tidak mencapai tahap hampir diluluskan.
Soalnya, sekiranya negara membayar wang seperti diminta dan vaksin tersebut tidak berjaya, adakah negara boleh mendapat semula wang yang telah dikeluarkan itu?
“Sekiranya vaksin itu berjaya dan kita tidak letakkan wang itu, kita adalah negara terakhir mendapat vaksin ini. Itu yang menjadikan kita dalam keadaan serba salah, apakah yang patut kita lakukan kerana kewangan yang diletakkan dalam COVAX itu amat tinggi.
“Bayangkan sekiranya harganya RM13 untuk setiap orang dan hanya 10 peratus rakyat Malaysia boleh mendapatkan vaksin itu, ia akan mencecah hampir RM100 juta.
“Kalau nak vaksinkan forntliner, hampir 30 peratus, itu boleh mengambil jumlah hampir RM240 juta. Adakah kita ada kewangan seperti itu,” katanya dalam temu bual Skype bersama Astro AWANI pada Khamis.
BACA: Vaksin COVID-19: Malaysia sertai COVAX bagi dapatkan bekalan vaksin
Begitupun, beliau optimis pemimpin negara akan membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira keadaan kewangan negara.
Tambahnya, bukan Malaysia sahaja menghadapi masalah sama kerana negara-negara lain juga kini berdepan masalah kewangan.
“Masalahnya sekarang adalah kos untuk membiayai pembangunan vaksin itu adalah sangat tinggi dan juga kebanyakan negara sedang dilanda pandemik ini juga menghadapi masalah ekonomi.
“Peruntukan untuk membeli vaksin ini untuk penduduk negara mereka mungkin tidak mencukupi,” ujarnya.
BACA: COVID-19: China pertimbang sertai PBB selaras pembangunan vaksin COVAX
Kerajaan berkemungkinan memuktamadkan pemilihan vaksin COVID-19 menjelang awal tahun 2021, demikian menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata, data daripada beberapa ujian klinikal vaksin COVID-19 yang berada pada fasa ketiga, dijangka dianalisa pada hujung tahun ini.
Menurut beliau, MOSTI juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara berkenaan implikasi undang-undang dan model perolehan bagi vaksin COVID-19.
#vaksin #COVAX #harga tinggi #Astro Awani #ekonomi #pendidikan #rakyat #rakyat Malaysia #Malaysia #koronavirus #pandemik #ujian klinikal #COVID-19 #Khairy Jamaluddin #implikasi undang-undang #masalah kewangan #Sazaly Abu Bakar
;