COVID-19: Hanya seorang turun beli makanan di R&R PLUS

Astro Awani
Mac 18, 2020 18:53 MYT
Pembelian makanan di gerai R&R Lebuh Raya PLUS hanya secara bungkus. Gambar hiasan.
Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini hingga 31 Mac 2020, semua lebuh raya kendalian PLUS beroperasi seperti biasa.
Bagaimanapun, sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19, pembelian di semua gerai makanan dan minuman Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya PLUS yang dibenarkan hanya secara bungkus sahaja.
PLUS dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, hanya seorang wakil dari setiap kenderaan disarankan untuk turun membeli makanan atau minuman.
"Semasa pembelian makanan, pengguna lebuh raya PLUS hendaklah sentiasa menjarakkan diri dengan selamat iaitu sejauh satu meter.
"Sementara itu, surau di R&R dibuka seperti biasa dan orang ramai diingatkan untuk membawa kelengkapan beribadah seperti kain pelikat, telekung dan sejadah sendiri.
"Tandas awam R&R juga dibuka seperti biasa," katanya.

Hebahan info yang disediakan oleh PLUS Malaysia Berhad berkaitan isu #COVID19. Mohon kerjasama rakyat Malaysia untuk mematuhi arahan Kerajaan - Kawalan Pergerakan sebagai langkah membendung wabak COVID-19. pic.twitter.com/fw6HsC83x1

— KKR Malaysia (@MOWorks) March 18, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam pada itu, semua perkhidmatan kritikal seperti PLUSRonda, Talian PLUSLine 1800 88 0000, Pusat Kawalan Trafik, Kerja-Kerja Penyelenggaraan Kecemasan dan Pengalihan Objek di lebuhraya beroperasi seperti biasa.
Bagaimanapun, Pusat Khidmat Pelanggan dan Lorong Tambah Nilai di plaza tol ditutup.
Justeru, orang ramai diingatkan untuk melakukan tambah nilai kad TnG di stesen minyak berhampiran.
#bungkus #gerai makan #Kawasan Rehat dan Rawat #Lebuhraya PLUS #perintah kawalan pergerakan #R&R
;