COVID-19: Hanya satu kes direkodkan, ini kejayaan bersama rakyat Malaysia

Astro Awani
Julai 1, 2020 19:03 MYT
Dr Noor Hisham berkata, penurunan kes harian juga menggambarkan kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri dan tanggungjawab sosial.
Kejayaan Malaysia mencatatkan bilangan kes terendah dengan hanya satu kes pada Rabu sejak gelombang kedua COVID-19 melanda negara, disifatkan sebagai kejayaan bersama seluruh rakyat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes itu sejajar dengan unjuran kes harian dalam pemodelan dan ramalan yang dibuat pada 21 Mei lalu oleh Institut Kesihatan Negara (NIH).
“KKM ingin mengucapkan syabas kepada semua pihak terutama masyarakat Malaysia di atas pencapaian ini.
“Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, pencapaian ini sememangnya hasil kerjasama setiap peringkat dan lapisan masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing.
“Ini termasuk mengamalkan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam sidang media harian di sini pada Rabu.
Tambahnya, penurunan kes harian juga menggambarkan kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri dan tanggungjawab sosial.
#Dr Noor Hisham Abdullah #kerajaan #kesihatan #KKM #koronavirus #Malaysia #Media #Noor Hisham Abdullah #operasi #pandemik #rakyat #rakyat Malaysia #SOP
;