COVID-19: Hajiji pulih, dibenarkan keluar hospital
Astro Awani
Oktober 18, 2020 11:07 MYT
Oktober 18, 2020 11:07 MYT
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor disahkan negatif COVID-19 dan dibenarkan keluar Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu pada Ahad.
Selain Hajiji, isterinya, Datin Seri Julia Salag juga dilaporkan negatif dan dibenarkan keluar pagi ini.
Susulan peningkatan kes COVID-19 di negeri itu, Hajiji dalam kenyataan ringkas menyatakan kerajaan negeri berusaha sedaya upaya untuk membendung penularan wabak itu.
"Apa yang penting ialah rakyat mesti berdisiplin, bekerjasama dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan pagi Ahad.
Dalam masa sama, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman mengucapkan terima kasih kepada warga kerja Jabatan Kesihatan Negeri Sabah termasuk Pengarahnya, Datuk Dr Christina Rundi.
Hajiji turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa berdoa untuk kesembuhan dan kesihatan beliau.
"Terima kasih dan penghargaan juga kepada para petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus mengorbankan masa serta tenaga dalam membendung penularan wabak COVID-19," katanya.
#Hajiji negatif COVID-19
#Hajiji sembuh COVID-19
#Hajiji dibenarkan pulang
#Datuk Seri Hajiji Noor
#COVID-19
#Patuhi SOP COVID
#Sabah
#Ketua Menteri Sabah