COVID-19: Gereja Katolik di Malaysia batal semua acara keagamaan selama dua minggu
Bernama
Mac 12, 2020 07:32 MYT
Mac 12, 2020 07:32 MYT
Gereja Katolik di Semenanjung Malaysia menangguhkan semua upacara sembahyang di gereja selama dua minggu bemula Sabtu ini susulan nasihat Kementerian Kesihatan supaya semua aktiviti perhimpunan awam ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19.
Uskup Katolik Semenanjung Malaysia, dalam kenyataan bersama pada Khamis berkata, semua upacara sembahyang pada hujung minggu dan hari bekerja ditangguhkan dari 14 Mac hingga 29 Mac ini.
Bagi negeri-negeri yang menjadikan Jumaat dan Sabtu sebagai hari kelepasan mingguan, penangguhan tersebut bermula 13 Mac, menurut kenyataan bersama oleh Ketua Uksup Kuala Lumpur, Most Reverend Julian Leow, Uskup Pulau Pinang, Right Reverend Sebastian Francis dan Uskup Melaka-Johor, Right Reverend Bernard Paul.
Menurut kenyataan tersebut, langkah tersebut adalah sementara bagi mendepani krisis tersebut.
Selain itu, aktiviti lain di gereja seperti kelas agama, mesyuarat, perhimpunan dan sesi perkumpulan perlu dibatalkan atau ditangguh semasa tempoh tersebut manakala upacara perkahwinan atau pengebumian diadakan secara persendirian dengan kehadiran ahli keluarga dan kenalan rapat.
Justeru, kenyataan itu menyebut, penganut disaran menghayati ritual sembahyang menerusi platform digital semasa tempoh penangguhan bagi mengukuhkan iman dan kerohanian mereka.
-- BERNAMA