COVID-19: Gelombang keempat bergantung kepada pembukaan sempadan negara - Dr Adham

Fareez Azman
April 5, 2021 15:30 MYT
DR ADHAM: KKM kini telah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan gelombang keempat COVID-19 di negara ini. - Bernama
PUTRAJAYA: Keberangkalian negara berdepan dengan gelombang keempat COVID-19 bergantung penuh pembukaan sempadan negara.
Demikian jelas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika mengulas mengenai kadar kebolehjangkitan (R-Naught) negara yang meningkat kepada 1.02 semalam.
Ujarnya, peningkatan R-naught itu bagaimanapun bukan disebabkan varian South African B.1.351, sebaliknya penularan yang berlaku di tempat kerja.
"R-naught kita melebihi 1.0 dua hari lepas, kebarangkalian kita berhadapan gelombang keempat bergantung penuh pembukaan sempadan. Varian South African (B.1.351) ada sembilan kes, walau bagaimanapun sembilan kes ini terkawal dan mereka dirawat dan dikuarantin.
"Kemampuan kita, selain beri vaksinasi, kita juga melihat kepada pematuhan SOP berterusan dalam kalangan masyarakat serta kemampuan kita pastikan aktiviti rentas negeri dan daerah dapat diminimumkan.
"Untuk itu, kita boleh kurangkan risiko jangkitan atau tempat yang boleh cetuskan wabak sentiasa kita pantau," jelasnya dalam sidang media CITF pada Isnin.
Dalam pada itu jelas Dr Adham, pihaknya kini telah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan gelombang keempat COVID-19 di negara ini.
"Sehingga 5 April, terdapat 63 buah hospital termasuk hospital universiti (disediakan untuk tujuan itu). Tujuh daripadanya adalah hospital merawat COVID-19 sepenuhnya dan 56 buah hospital lain pula adalah hibrid.
"Daripada jumlah katil keseluruhan khusus untuk (pesakit) COVID-19, sebanyak 6,775 yang digunakan setakat ini dengan kadar pengunaan sebanyak 35 peratus. Untuk Unit Rawatan Rapi (ICU) pula sebanyak 1,146 katil dengan kadar pengunaan 58 peratus," jelasnya lagi.
Hospital yang merawat COVID-19 sepenuhnya adalah Hospital Sungai Buloh (Selangor), Hospital Tampin (Negeri Sembilan), Hospital Kepala Batas (Pulau Pinang), Hospital Kuala Terengganu (Terengganu), Hospital Tumpat (Kelantan) dan Hospital Kuala Krai (Kelantan).
#gelombang keempat #COVID-19 #pandemik #Sempadan Negara #Adham Baba #Menteri Kesihatan #R-Naught
;