COVID-19: Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya ditangguhkan

Bernama
Mac 6, 2020 17:38 MYT
Keputusan menangguhkan Fiesta Belon Udara Panas Antabarabangsa Putrajaya dibuat selaras dengan keutamaan yang diberikan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan orang awam. - Bernama
Fiesta Belon Udara Panas Antabarabangsa Putrajaya yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 22 Mac ini ditangguhkan, susulan kebimbangan penularan jangkitan COVID-19.
AKA Balloon Sdn Bhd dan Perbadanan Putrajaya (PPj) dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata keputusan itu dibuat selaras dengan keutamaan yang diberikan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan orang awam, pengendali, vendor, pembekal, petugas serta anggota keluarga masing-masing yang terlibat dalam perjalanan fiesta itu.
"Selepas pertimbangan yang wajar dan berhati-hati, penularan COVID-19 di peringkat global ketika ini menjadikan mustahil untuk melihat perkembangan jangkitan penyakit itu semasa majlis berlangsung nanti, ditambah dengan pergerakan merentasi sempadan di kalangan pelawat, pengendali dan petugas ketika itu," menurut kenyataan berkenaan.
Fiesta Belon Udara Panas Antabarabangsa Putrajaya sebelum ini dijangka membawa penyertaan 25 belon udara panas dari 13 negara, termasuk Malaysia.
Fiesta empat hari itu dijangka menarik kunjungan lebih 200,000 pelawat.
-- BERNAMA
#aka balloon sdn bhd #COVID-19 #fiesta belon udara panas #kesihatan #koronavirus #Perbadanan Putrajaya #Putrajaya
;