COVID-19: FGV saring 13,509 pekerja asing
Najib Aroff
Februari 10, 2021 12:44 MYT
Februari 10, 2021 12:44 MYT
Kuala Lumpur: FGV Holdings Berhad (FGV) meluaskan lagi program ujian saringan COVID-19 kepada semua pekerja asing di ladang miliknya di seluruh negera.
Setakat Januari lepas, FGV telah melaksanakan program saringan ke atas 1,029 pekerja asingnya di Negeri Sembilan dan Pahang, 6,261 (Sabah) dan 703 (Terengganu).
"Keputusan saringan pada Januari adalah negatif, kecuali 25 pekerja di Sabah yang melalui proses kuarantin.
"Kesemua pekerja itu kini sudah sembuh sepenuhnya dan sudah di discaj dari pusat kuarantin di Lahad Datu," katanya dalam satu kenyataan
Malah setakat awal Februari, sejumlah 1,402 pekerja asing FGV di Pahang dan 4,114 di Sabah turut disaring.
Setakat ini sejumlah 13,509 pekerja asing FGV sudah disaring.
"Usaha ini bagi memastikan pekerja asing di ladang milik FGV kekal sihat dan tidak menjadi agen penyebar pandemik.
"Ia juga selari dengan arahan kerajaan yang menuntut majikan menyediakan ujian saringan kepada pekerja asing bermula 2 Februari 2021.
"FGV juga menyediakan Pusat Rawatan dan Kuarantin COVID-19 (PKRC) di kompleks ladangnya untuk membolehkan proses pengasingan pekerja asing yang didapati positif dengan simtom ringan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan.
FGV mempunyai sejumlah 26,114 pekerja asing di mana 15,119 daripadanya di Semenanjung Malaysia, 10,375 (Sabah) dan 620 (Sarawak).