COVID-19: Felcra laksana proses sanitasi, situasi terkawal dan selamat

Harits Asyraf Hasnan
Mac 5, 2020 14:19 MYT
Operasi pembersihan sanitasi secara menyeluruh melibatkan enam tingkat di Wisma FELCRA bermula pada hari ini dan esok. - Foto Felcra Berhad
Felcra Berhad hari ini memulakan operasi pembersihan sanitasi secara menyeluruh melibatkan enam tingkat di Wisma Felcra.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata operasi itu dilakukan sebagai langkah-langkah segera dalam menangani penularan COVID-19.
Beliau turut memberi jaminan sehingga kini keadaan di bangunan tersebut adalah terkawal dan selamat.
"Menerusi usaha ini, persekitaran dan dalaman premis Wisma Felcra dibersihkan mengikut ‘Standard Operational Procedure (SOP)’.
"Langkah ini adalah untuk memperkasakan kesejahteraan staf Ibu Pejabat di samping meningkatkan keyakinan mereka apabila kembali bertugas seperti sedia kala pada Isnin depan," ujarnya menerusi satu kenyataan media.
Tambah beliau, semua staf Ibu Pejabat dan pelawat akan menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan memasuki bangunan pejabat pada Isnin ini.
"Bagi mereka yang merekodkan suhu badan melebihi 38 darjah Celsius tidak dibenarkan memasuki pejabat dan akan diaturkan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut," jelasnya.
Sementara itu, katanya gerak kerja harian Felcra berjalan seperti biasa menggunakan teknologi komunikasi terkini yang menghubungkan Ibu Pejabat, semua Wilayah dan Kawasan.
Malah ujarnya, dalam tempoh ini juga, semua peserta, kontraktor dan pembekal boleh berurusan seperti biasa dengan mana-mana bahagian di Ibu Pejabat menggunakan kemudahan komunikasi sedia ada.
#coronavirus #COVID 19 #Felcra Berhad #koronavirus #proses sanitasi
;