COVID-19: Fasiliti hanya mampu bertahan dua bulan - Pengarah Kesihatan Kelantan
Muhafandi Muhamad
Januari 23, 2021 14:36 MYT
Januari 23, 2021 14:36 MYT
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjangkakan fasiliti sedia ada ketika ini hanya mampu bertahan untuk tempoh dua bulan sekiranya kes COVID-19 di negeri ini terus menunjukkan trend peningkatan.
Pengarahnya Datuk Dr Zaini Husin berkata, sejak akhir-akhir ini kes jangkitan baharu di Kelantan menunjukkan lonjakan melebihi angka 100 setiap hari.
Ini menurutnya amat membimbangkan dengan kadar nilai kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 di negeri ini berada pada 1.26, melebihi bacaaan R-naught kebangsaan pada 1.14.
"Sebahagian yang dalam kategori 1 dan 2, yang tidak mempunyai risiko, boleh dikuarantinkan di rumah. Kita hanya fokus kepada mereka yang berisiko di hospital.
"Jadi, itulah strategi-strategi kita dalam memastikan fasiliti kita cukup untuk menangani kes-kes COVID.
"Sebab itu juga, kita wujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk memastikan mereka yang perlu dikuarantin di tempat-tempat ini, kita adakan di sini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Tautan Kasih PKRC Kelantan Musaadah COVID-19 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Buat masa ini, di Kelantan terdapat lapan hospital serta empat PKRC iaitu tiga di sini, membabitkan Dewan Jubli Perak, Kolej Kejururawatan Kota Bharu dan Putik, serta satu di Gua Musang.
Dr Zaini berkata, sebagai langkah persediaan, pihaknya telah mengenal pasti beberapa dewan lagi yang sesuai untuk dijadikan PKRC sekiranya kes jangkitan COVID-19 di negeri ini terus meningkat.
"Dari segi keperluan, memang kita telah mengenal pasti beberapa dewan selain daripada yang kita ada sekarang di Jubli Perak dan juga Putik ini.
"Kita telah mengenal pasti beberapa tempat, sekiranya perlu, kita buka PKRC," kata Dr Zaini.
Bagi menampung kekurangan fasiliti juga, JKNK melaksanakan pengawasan dan pemerhatian (HSO) di rumah bagi menempatkan individu positif COVID-19 yang tidak bergejala, sekiranya persekitaran rumah pesakit sesuai.
Buat masa ini terdapat 145 pesakit COVID-19 yang sedang menjalani HSO di Kelantan.
#Kota Bharu
#kesihatan
#COVID-19
#PKRC
#kuarantin
#Kelantan
#lonjakan
#peningkatan kes
#kes positif
#jabatan kesihatan
#Zaini Husin
#membimbangkan
#HSO
#rumah
#bergejala