COVID-19: Fasa pertama vaksin di Sabah bermula 26 Feb ini - Masidi
Eleanor Michelle Patrick
Februari 15, 2021 22:21 MYT
Februari 15, 2021 22:21 MYT
KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan kira-kira tiga juta penduduk di negeri ini akan menerima vaksinasi COVID-19 menjelang Februari 2022.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata fasa pertama pemberian vaksinasi dijangka bermula pada 26 Februari depan sehingga April 2021.
"Fasa kedua dan ketiga pula dijangka bermula daripada bulan April secara berterusan dan dijangka tamat pada Februari 2022.
"Fasa pertama akan melibatkan petugas-petugas barisan hadapan, fasa kedua melibatkan populasi yang mempunyai komorbiditi seperti warga emas dan penghidap penyakit kronik, manakala fasa ketiga akan meliputi warganegara lain yang berumur 18 tahun ke atas," katanya.
Bercakap mengenai pemberian vaksin kepada pendatang tanpa izin (PTI), beliau berkata pihak kerajaan telah memutuskan untuk memperluaskan pemberian vaksin secara percuma kepada semua rakyat, termasuk rakyat asing dan mereka yang tidak mempunyai dokumen.
"Hasrat kita ialah untuk memberi vaksinasi kepada semua orang yang tinggal di Sabah, kerana selagi ada yang belum diberi vaksin, itu adalah potensi sebagai penyebar kepada jangkitan COVID-19 ini," katanya.
Jelasnya lagi, terdapat lima kaedah yang telah disenaraikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bagi mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.
Antaranya ialah melalui aplikasi MySejahtera, laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, talian hotline, pendaftaran secara manual di klinik dan hospital awam serta swasta dan akhir sekali kerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendaftarkan penerima termasuk warga emas.
"Pihak Majlis Keselamatan Negara mempunyai peranan yang besar untuk mendapatkan senarai pendaftaran penerima vaksin dalam fasa kedua dan ketiga, melalui bantuan ketua kampung dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)," tambahnya.
Sabah pada hari ini merekodkan penambahan 97 kes positif COVID-19, menjadikan ia angka terendah sejak Oktober tahun lalu. Satu kes kematian juga telah dicatatkan dari daerah Keningau.