COVID-19: Enam kes baharu, tiga kes penularan tempatan
Umavathi Ramayah
September 6, 2020 17:23 MYT
September 6, 2020 17:23 MYT
Kes positif COVID-19 kekal satu angka dengan enam kes baharu dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari, Ahad.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu tiga kes dilaporkan mendapat jangkitan dalam negara manakala tiga lagi adalah kes import.
Beliau menjelaskan, daripada tiga kes jangkitan dalam negara yang membabitkan warganegara tempatan, dua kes adalah daripada Kluster Benteng LD di Sabah manakala satu kes adalah melibatkan pesakit Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Pulau Pinang.
Menurutnya, kesemua kes import yang dilaporkan adalah membabitkan warga asing yang mendapat jangkitan dari Indonesia (dua kes) dan Bangladesh (satu kes).
"Bagaimanapun tiada kematian baharu direkodkan dan jumlah keseluruhan kekal 128 kes atau 1.36 peratus," katanya dalam kenyataan media di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Noor Hisham memberitahu, sehingga kini enam kes sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.
"Dua kes pulih dicatatkan menjadikan 9,115 kes telah pulih sepenuhnya bersamaan 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," jelasnya.
Menyentuh mengenai Kluster Benteng LD di Sabah, beliau memberitahu, dua kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 adalah sebanyak 16 kes.
Setakat ini katanya, 420 individu disaring di Lahad Datu dengan tujuh kes dikesan positif manakala 154 individu lagi masih menunggu keputusan.
"Sebanyak 365 individu lagi disaring di Tawau membabitkan sembilan kes positif dan 280 invidu lagi masih menunggu keputusan," ujarnya.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat.
#COVID-19
#Dr Noor Hisham Abdullah
#ICU
#kes import
#KKM
#Kluster Benteng LD
#Tawau
#unit rawatan rapi
#warga asing