COVID-19: Enam kes baharu, satu dari Kluster Telaga direkodkan

Raja Hisyam Raja Zaid
September 5, 2020 18:30 MYT
Sehingga kini terdapat lima kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.
Kementerian Kesihatan merekodkan enam kes baharu sehingga pukul 12 tengah hari Sabtu berhubung jangkitan COVID-19.
Dalam kenyataan yang diedarkan pada Sabtu, kementerian berkenaan berkata, daripada jumah tersebut, empat merupakan kes import manakala dua lagi merupakan penularan dalam negara.
Sehubungan itu, jumlah keseluruhan kes positif keseluruhan COVID-19 setakat ini adalah sebanyak 9,391 kes.
Sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 150 kes.
Kementerian turut memaklumkan, empat kes import yang dilaporkan hari ini melibatkan dua warga asing dan dua warganegara Malaysia.
Mereka dikesan telah mendapat jangkitan di empat buah negara iaitu Pakistan, Angola, India dan Bangladesh.
Kenyataan itu juga berkata, dua kes selebihnya pula melibatkan kes tempatan masing-masing satu kes baharu daripada Kluster Telaga di Kedah dan satu kes di Sabah.
Kes terbaharu ini merupakan kes ke-9,391 merupakan kontak rapat kepada kes indeks ke-9284 di Hospital Sultanah Bahiyah.
Ia menjadikan jumlah kes positif melibatkan Kluster Telaga kini adalah sembilan kes.
Setakat ini seramai 3,458 orang telah disaring di mana 2,744 individu didapati negatif manakala 705 masih menunggu keputusan.
Setakat Sabtu juga, kementerian berkata, tiada kes kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di negara ini kekal sebanyak 128 kes (1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Sehingga kini terdapat lima kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.
#Bangladesh #Hospital #ICU #India #Kedah #Kementerian Kesihatan #kes positif #kesihatan #koronavirus #Malaysia #Pakistan #unit rawatan rapi #warga asing
;