COVID-19: Empat lagi kluster diisytihar tamat di Sabah

Bernama
Mac 20, 2022 15:46 MYT
Empat lagi kluster diisytihar tamat di Sabah hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Empat lagi kluster diisytihar tamat di Sabah hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 berkata kluster tersebut ialah Kluster Jalan Pintas Sembulan dan Kluster Sutera 2 di Kota Kinabalu; Kluster Giram di Kunak dan Kluster Kemburongoh 2 di Ranau.
"Dengan penamatan kluster tersebut, jumlah kluster yang masih aktif di Sabah ialah 14," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Sementara itu, Masidi berkata sebanyak 339 kes positif baharu COVID-19 dilaporkan di Sabah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 363,909 kes.
Beliau berkata seramai 880 pesakit COVID-19 di Sabah telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh 337,768 orang manakala 576 pesakit masih dirawat.
-- BERNAMA
#kluster #Sabah #Masidi Manjun #COVID-19 #Kota Kinabalu #Ranau