COVID-19: Empat kes dicatat di Sarawak, tiga daripadanya dari Sabah
Nickyson Nyambar
September 30, 2020 21:38 MYT
September 30, 2020 21:38 MYT
KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media COVID-19 hari ini memaklumkan terdapat pertambahan empat kes positif COVID-19 baharu di negeri itu.
Menurutnya, keempat-empat kes adalah diklasifikasikan sebagai kes import (B), di mana jangkitannya berasal dari luar Sarawak.
“Kes pertama melibatkan seorang wanita warga tempatan tiba dari Kuala Lumpur melalui Lapangan Terbang Miri pada 28 September 2020.
“Ujian rT-PCR rawak yang dilakukan pada tarikh sama mendapati kes positif COVID-19,” ujarnya.
Tambahnya, tiga kes Import (B) yang lain melibatkan warga tempatan yang datang dari Sabah, masing-masing atas urusan berlainan.
“Kes kedua merupakan warga tempatan yang tiba dari Papar.
“Kes melibatkan pelajar sebuah institut kemahiran di Miri yang memasuki negeri ini menerusi Kota Kinabalu,” dedahnya.
Jelas Uggah, keputusan ujian saringan pertama pada 24 September 2020 yang dijalankan ke atas pelajar berkenaan adalah negatif. Bagaimanapun, keputusan ujian rT-PCR di Miri mendapati mangsa positif COVID-19.
Dedah Uggah lagi, pelajar berkenaan juga sebelum ini mengadu mengalami selesema.
Muat beliau dalam sidang media hari ini, kes seterusnya pula melibatkan anggota keselamatan yang baru balik setelah diarahkan untuk bertugas di Sabah semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lepas.
Kes dikatakan tiba bersama anggota pasukan yang lain pada 28 September 2020 menggunakan penerbangan khas melalui Lapangan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Kuching.
“Kesemua anggota telah menjalani ujian saringan sejurus ketibaan. Malangnya, seorang anggota didapati positif virus berkenaan.
“Kes telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut,” kata Timbalan Ketua Menteri itu lagi.
Sementara itu, dalam kes berlainan yang melibatkan seorang pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), kes dikatakan tiba dari Menggatal, Sabah dan memasuki Sarawak pada 27 September 2020.
“Keputusan ujian saringan yang dilakukan pada 27 September 2020 telah didapati kes ini positif COVID-19. Hasil siasatan juga mendapati kes ini tidak menunjukkan tanda dan gejala jangkitan itu,” jelas Uggah.
Dalam sidang media yang sama, beliau yang mempengerusikan sidang media berkenaan turut mendedahkan telah melakukan mesyuarat bersama anggota JPBNS berkenaan tatacara kemasukan terkini ke negeri itu.
Walau bagaimanapun, intipatinya akan didedahkan pada Khamis.
Beliau berkata demikian pada sidang media harian COVID-19 di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di Kuching pada Rabu.
#AWANI Sarawak
#Astro Awani
#COVID-19
#JPBNS
#Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak
#Datuk Amar Douglas Uggah Embas
#Kes Import B