COVID-19: Empat beradik antara lima kes positif baharu di Kuching
Astro Awani
Oktober 18, 2020 18:29 MYT
Oktober 18, 2020 18:29 MYT
KUCHING : Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri ( JPBN) Sarawak mengumumkan pertambahan lima kes positif COVID-19 baharu di Kuching.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, empat kes baharu ini melibatkan Kluster Bah Arnab. Kes adalah merupakan kontak rapat kepada kes indeks COVID-19 yang dikesan sebelum ini melalui kluster sama.
"Mereka dikesan positif setelah melalui saringan kali kedua iaitu pada hari ke-10 semasa kontak-kontak ini menjalani kuarantin 14 hari," jelas JPBNS.
Memetik laporan itu lagi, kes ini melibatkan empat beradik yang disaring pada 16 Oktober 2020.
"Keputusan ujian rT-PCR mereka didapati positif pada Ahad. Mereka tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala jangkitan.
"Kini, mereka dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut," tambah kenyataan itu.
Sementara itu, jelas JPBNS, kes kelima yang dilaporkan pada hari ini pula melibatkan lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai juruteknik swasta di sebuah hospital kerajaan di Kuching.
"Kes diklasifikasikan sebagai kes saringan bergejala. Kes dikatakan telah mengalami demam dan selesema pada 15 Oktober 2020 dan telah menjalani saringan COVID-19 di sebuah klinik kerajaan pada 16 Oktober 2020.
"Keputusan ujian rT-PCR kes ini telah didapati positif pada 17 Oktober 2010," tegas JPBNS.
Menurut kenyataan itu, kes ini tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau melawat kawasan berisiko tinggi kebelakangan ini. Kes juga tidak mempunyai kontak kepada sebarang kes positif COVID-19.
Justeru, lapor JPBNS, kes dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut. Pengesanan kontak rapat juga giat dijalankan.
#COVID-19
#Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak
#Kes positif Sarawak
#Kes positif Kuching
#Kluster Bah Arnab
#JPBNS
#Datuk Amar Douglas Uggah Embas