COVID-19: Elaun penarik beca Pulau Pinang bagi tiga bulan dibayar sekali gus

Bernama
Mac 26, 2020 18:35 MYT
Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini memberi elaun RM100 sebulan kepada penarik beca di negeri ini bagi membantu golongan itu yang tidak mempunyai pendapatan tetap. - Gambar fail/BERNAMA
Kerajaan Pulau Pinang akan membayar elaun penarik beca di negeri ini untuk tempoh April hingga Jun secara sekali gus pada bulan hadapan kerana mereka terjejas dengan penularan wabak COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan negeri Yeoh Soon Hin berkata setiap penarik beca akan menerima bayaran berjumlah RM500, yang merangkumi elaun sebanyak RM300 dan bantuan tunai secara 'one-off' RM200.
"Saya berkomunikasi dengan pelbagai sektor bagi memahami keperluan pelbagai pihak dan saya turut menyampaikan keperluan serta cadangan kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan bantuan terbaik bagi mereka.
"Kerajaan negeri akan membuat bayaran awal elaun penarik beca sebanyak RM300 dan tambahan sebanyak RM200 secara 'one-off' sebagai bantuan yang dijangka akan memanfaatkan lebih kurang 318 penarik beca," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan negeri sebelum ini memberi elaun RM100 sebulan kepada penarik beca di negeri ini bagi membantu golongan itu yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Yeoh berkata seramai 1,367 pemandu pelancong yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya juga akan menerima bantuan tunai secara 'one-off' bernilai RM500 seorang.
"Seramai 10,000 pemandu e-hailing di Pulau Pinang juga menerima bantuan 'one-off' sebanyak RM300 seorang manakala 2,248 pemandu teksi akan mendapat manfaat melalui bayaran awal insentif RM300 dengan tambahan sebanyak RM200 secara 'one-off'.
"Kesemua bantuan ini adalah sebahagian daripada Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang yang diumumkan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow semalam. Saya akan terus memantau keadaan untuk memastikan rakyat dan sektor yang paling memerlukan bantuan akan menerima manfaat," katanya.
Semalam, Chow mengumumkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang bernilai RM75 juta yang akan disalurkan kepada 15 kumpulan sasar membabitkan lebih 400,000 penerima bagi mendepani krisis penularan pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
#COVID-19 #kerajaan #Ketua Menteri #koronavirus #pelancong #pelancongan #pulau pinang
;