COVID-19: Elaun khas RM400 pembakar semangat kepada petugas kesihatan

Bernama
Februari 27, 2020 04:43 MYT
Dr Noor Hisham berkata pihaknya menyambut baik langkah kerajaan memberikan elaun khas itu kepada petugas yang secara langsung terdedah kepada risiko jangkitan penyakit berkenaan. - Bernama
Pemberian elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor dan petugas perubatan yang lain merupakan satu pengiktirafan terhadap mereka di lapangan yang melaksanakan tugas berisiko tinggi menghadapi penularan jangkitan COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya menyambut baik langkah kerajaan memberikan elaun khas itu kepada petugas yang secara langsung terdedah kepada risiko jangkitan penyakit berkenaan.
"Elaun khas ini merupakan satu pengiktirafan terhadap pengorbanan petugas kesihatan di lapangan yang melaksanakan tugas berisiko tinggi dalam tindakan kesiapsagaan dan respons bagi menghadapi penularan jangkitan COVID-19.
"Terima kasih diucapkan di atas tanda penghargaan ini. Semoga ia menjadi pendorong dan pembakar semangat bagi petugas kesihatan dalam melaksanakan tugas demi memelihara kesihatan dan keselamatan rakyat negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini, Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya berkata elaun khas RM400 sebulan akan diberikan kepada doktor dan petugas perubatan serta RM200 kepada imigresen dan petugas lain yang terlibat, berkuat kuasa Februari 2020 hingga wabak COVID-19 berakhir.
-- BERNAMA
#Dr Noor Hisham Abdullah #elaun khas #keselamatan #kesihatan #Mahathir Mohamad #Noor Hisham Abdullah #rakyat
;