COVID-19: Elak pekerja swasta dibuang, kerajaan bantu majikan sediakan upah RM600

Firdaus Azil
Mac 27, 2020 17:03 MYT
Menerusi program ini, Muhyiddin berkata, kerajaan akan menyediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan.
Kerajaan akan memperkenalkan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja, dalam usaha membantu mereka menghadapi impak ekonomi akibat penularan wabak COVID-19 di negara ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi program ini, Muhyiddin berkata, kerajaan akan menyediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan.
“Program ini dikhususkan kepada pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus sejak 1 Januari 2020.
“Majikan mesti memastikan mereka tidak membuang pekerja atau mengarahkan mereka mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan,” katanya sewaktu membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRIHATIN) hari ini.
Selain itu, Muhyiddin berkata, majikan juga tidak dibenarkan memotong gaji sedia ada pekerja.
“Langkah ini dijangka memanfaatkan 3.3 juta orang pekerja dengan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion,” katanya lagi.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk membayar gaji yang ditanggung oleh kontraktor yang terlibat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun pekerja tidak hadir bekerja.
“(Ini) bagi memastikan kebajikan pekerja yang terlibat dengan kontrak perkhidmatan seperti perkhidmatan pembersihan dan bekalan makanan bermasak di sekolah, IPTA, institusi latihan awam serta agensi-agensi lain Kerajaan termasuk badan berkanun.
“Lebih 80,000 pekerja akan menerima manfaat daripada inisiatif ini yang melibatkan peruntukan berjumlah RM110 juta,” katanya lagi.
Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh kontrak perkhidmatan yang berkenaan selama sebulan sebagai trade-off dengan tempoh PKP yang telah dilanjutkan sehingga 14 April ini.
#COVID-19 #koronavirus #majikan #Muhyiddin Yassin #pakej rangsangan ekonomi #pekerja swasta #Perdana Menteri #PRIHATIN #Program Subsidi Upah #sektor swasta #subsidi
;