COVID-19: Elak guna terlalu banyak terminologi - Pakar kesihatan
Astro Awani
Julai 7, 2021 10:35 MYT
Julai 7, 2021 10:35 MYT
KUALA LUMPUR: Penggunaan terlalu banyak terminologi atau keadaan yang boleh mengelirukan perlu dielakkan dalam konteks langkah pencegahan penularan COVID-19.
Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman berkata, paling penting ialah untuk menyelamatkan sistem kesihatan negara yang harus mampu menampung sebarang kenaikan kes pandemik semasa.
"Jadi, dalam keadaan sekarang, bagi negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang mencatatkan kes yang tinggi, kita berdepan dengan keadaan yang sangat getir. Sebab, sistem kesihatan kita yang agak tenat, tidak mampu untuk menampung peningkatan kes.
"Saya berpendapat kita tidak perlu menggunakan terlalu banyak terminologi, yang penting maklumat itu mudah untuk difahami masyarakat dan untuk dilaksanakan.
"Ini perlu difahami untuk dilaksanakan semua individu, golongan atau organisasi. Pengecualian juga sepatutnya tidak berlaku.
"Apa yang menyebabkan kes meleret seperti ini adalah adanya pengecualian untuk sektor-sektor yang berkenaan," katanya kepada Astro AWANI menerusi panggilan video hari ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) baru-baru ini menggariskan empat fasa melibatkan pelan peralihan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.
Setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan 'Tiga Indikator Ambang Utama' ataupun 'threshold' atau dikenali juga sebagai nilai ambang untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.
Dalam pada itu, kata Dr Malina, garis panduan baharu seperti mewujudkan gelembung imuniti terhadap mereka yang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 menjelang Ogos depan, adalah langkah wajar dan tepat.
Jelasnya, kadar suntikan vaksin yang mencecah 300,000 sehari kini akan memungkinkan negara mencapai 30 atau 40 peratus penerima menjelang Ogos.
"Apa yang penting, kita wujudkan gelembung imuniti. Perlu difikirkan, keadaan di mana mereka yang sudah divaksin selamat untuk berinteraksi sesama sendiri, dalam kelompok yang telah divaksin.
"Di samping itu, perlu ada SOP untuk menentukan bagaimana mereka yang telah divaksin berinteraksi dengan mereka yang belum.
"Tetapi, secara umumnya, mereka yang telah divaksin sepatutnya diberi kebenaran merentas negeri, daerah dan sebagainya. Ia boleh diberikan, dengan syarat ada gelembung imuniti," ujarnya.
Sebelum ini, Muhyiddin berkata inisiatif mempercepatkan pemberian vaksin kepada seramai mungkin penduduk di negara ini turut direalisasikan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Menurutnya, ia penting bagi memastikan negara berjaya mencapai imuniti kelompok dan seterusnya membawa rakyat Malaysia kembali menjalani kehidupan seperti sebelum pandemik COVID-19.
#PM
#SOP
#video
#COVID-19
#suntikan
#vaksin
#PKP
#gelembung imuniti
#imuniti
#rakyat Malaysia
#ekonomi
#imuniti kelompok
#perintah kawalan pergerakan
#pandemik
#Kuala Lumpur