COVID-19: Ekonomi mungkin ditutup jika kes tidak turun - Surat EuroCham
Najib Aroff
Januari 24, 2021 13:30 MYT
Januari 24, 2021 13:30 MYT
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, iaitu dengan menutup hampir kesemua aktiviti ekonomi, akan dilaksanakan sekiranya kes penularan COVID-19 gagal dikawal menjelang 4 Februari.
Amaran itu diberikan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) dalam satu surat kepada ahlinya.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lokman Hakim Ali sewaktu mesyuarat bersama EuroCham.
"Beliau memberitahu bahawa, Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pendirian jelas tentang penutupan sepenuhnya ekonomi.
"Sebanyak 99 kluster COVID-19 di Malaysia adalah berkait dengan sektor pembuatan, dan pihak KKM percaya sektor itu punca utama kepada jangkitan," katanya dalam satu kenyataan.
EuroCham berkata, sektor pembinaan juga turut disebut menjadi antara punca penularan, namun perkara itu hanya dibincangkan secara ringkas memandangkan ia bukan di bawah bidang kuasa MITI.
"MITI merayu kepada semua syarikat asing dan tempatan untuk bersama-sama berusaha mengurangkan dan memutuskan rantaian jangkitan demi memastikan ekonomi terus dibuka untuk perniagaan."
Menurut EuroCham, memandangkan asrama pekerja dan aktiviti berkaitan seperti pengangkutan serta aktiviti sosial dikenal pasti sebagai punca masalah, pihak MITI bersama Dewan Perniagaan menggariskan beberapa langkah.
"Syarikat akan melantik sekurang-kurangnya seorang wakil dari bahagian sumber manusia untuk menyelaras pekerja dan pekerja asing di asrama. Ia bagi mengurangkan pergerakan serta aktiviti sosial.
"Syarikat perlu bertanggungjawab terhadap pengurusan pekerja asing atau perumahan mereka yang dilantik melalui agensi.
"Terdapat kes di mana keadaan rumah yang teruk serta pengangkutan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sekali gus menyebabkan kadar jangkitan meningkat."
Selain itu, syarikat juga dituntut menyediakan ruang kuarantin asas di asrama bagi memastikan kes di bawah pemantauan, kontak rapat dan kes positif boleh diasingkan.
EuroCham berkata, syarikat juga perlu memastikan jumlah pekerja dalam setiap kenderaan pekerja adalah di bawah 50 peratus kapasiti bagi memastikan penjarakan fizikal.
#MITI
#SOP
#ekonomi
#COVID-19
#PKP
#sektor pembinaan
#punca penularan
#sektor pembuatan
#KKM
#kluster
#asrama
#dewan perniagaan
#jangkitan
#kuarantin
#kontak rapat
#pemantauan
#kenderaan pekerja
#penjarakan fizikal
#penutupan ekonomi