COVID-19: Dua SMK di Bagan Serai, Parit Buntar ditutup tujuh hari
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 24, 2020 06:11 MYT
Oktober 24, 2020 06:11 MYT
IPOH: Sekolah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al-Baqir Bagan Serai dan SMK Pekan Baru, Parit Buntar ditutup tujuh hari mulai semalam sehingga 30 Oktober akibat terkesan penularan wabak COVID-19.
Sesi persekolahan kedua-dua sekolah tersebut akan dibuka semula pada Isnin, 2 November.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO Dan Masyarakat Sivil Negeri Perak, Razman Zakaria ketika dihubungi malam tadi mengesahkan perkara itu.
“Berikutan risiko penularan wabak COVID-19 yang tinggi, tindakan ini diambil sebagai langkah pencegahan awal selari dengan kehendak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, ibu bapa dan guru diminta terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memastikan penjagaan jarak sosial ketika berada di tempat awam, pemakaian pelitup muka, penjagaan kebersihan diri dan sebagainya.
Menurutnya, sebagai langkah susulan, semua sekolah yang terlibat dan mempunyai risiko kebolehjangkitan virus COVID-19 ini akan disanitasi dalam masa terdekat.
“Diharapkan semua ibu bapa dapat memantau kesihatan anak masing-masing dan segera mendapatkan rawatan sekiranya didapati bergejala seperti demam, batuk dan selesema khususnya bagi murid sekolah-sekolah terbabit,” ujarnya.
#sekolah ditutup
#sekolah
#tutup
#Perak
#COVID-19
#SMK Abu Bakar Al-Baqir
#SMK Pekan Baru
#parit buntar
#Bagan Serai
#SOP
#Razman Zakaria
#pencegahan
#MKN
#KKM
#sanitasi
#gejala
#rawatan
#risiko