COVID-19: Dua lagi sekolah di daerah Kuala Nerus diarah ditutup sementara

Nur Fazlizai Ali
Oktober 5, 2020 05:44 MYT
Hanya guru dan murid sekolah yang mempunyai kontak rapat diarahkan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 pada hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA NERUS: Dua buah lagi sekolah di daerah Kuala Nerus diarahkan ditutup sementara bermula hari ini sehingga 11 Oktober depan.
Penutupan itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir.
Arahan itu dibuat susulan beberapa murid sekolah terbabit dikatakan mempunyai kontak rapat dengan seorang kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) yang disahkan positif COVID-19 pada Sabtu lalu.
Tinjauan Astro AWANI di sekolah terbabit mendapati, sebilangan pelajar diiringi ibu bapa masing-masing hadir bagi menjalani saringan COVID-19.
Beberapa buah kenderaan milik Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu juga didapati memasuki pekarangan sekolah dan petugas kesihatan yang lengkap berpakaian perlindungan PPE melakukan kerja saringan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Aalim Ab Ghani berkata, penutupan dibuat mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).
Bagaimanapun beliau difahamkan hanya guru dan murid sekolah yang mempunyai kontak rapat diarahkan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 pada hari ini.
BACA: COVID-19: Kes meningkat tiga angka, semua sekolah dan IPT di Sabah ditutup - Hajiji
Jelasnya penutupan sementara sekolah yang terlibat juga dibuat atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Jumaat lalu, SK Padang Kemunting ditutup sementara setelah murid Darjah Satu dan Dua sekolah berkenaan dipercayai mempunyai kontak rapat dengan seorang guru yang disahkan positif COVID-19.
Sehingga kini 20 orang termasuk murid sekolah dikatakan sedang dirawat setelah disahkan positif COVID-19 di Terengganu.
#COVID-19 #Astro Awani #pelajar #pendidikan #kesihatan #koronavirus #ujian saringan #sekolah ditutup #Universiti Sultan Zainal Abidin #UniSZA