COVID:19 Dua kluster baharu dikesan di Sabah, Labuan

Hilmi Malik
Oktober 27, 2020 18:32 MYT
Dr Noor Hisham berkata, Kluster Limbungan dilaporkan di Labuan dengan kes indeks dikenal pasti positif pada 15 Oktober. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti dua lagi kluster baharu COVID-19 pada Selasa dikenali sebagai Kluster Lintas dan Kluster Limbungan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Lintas melibatkan daerah Kota Kinabalu dengan enam kes disahkan positif COVID-19.
Kesemua individu tersebut disahkan positif pada 26 Oktober hasil saringan di tempat kerja dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan.
Beliau berkata, Kluster Limbungan pula dilaporkan di Labuan dengan kes indeks dikenal pasti positif pada 15 Oktober hasil ujian saringan kontak rapat.
Ujian saringan selanjutnya mengesan 19 lagi kes positif COVID-19 manakala seramai 319 individu masih menanti keputusan.
#COVID-19 #Dr Noor Hisham Abdullah #Kluster baharu #kluster limbungan #kluster lintas #positif #Sabah #Labuan
;