COVID-19: Dr Noor Hisham minta hospital swasta bersedia alami lonjakan kes

Hilmi Malik
Mei 20, 2021 19:23 MYT
Setiap hospital swasta yang sedang merawat pesakit COVID-19 perlu meningkatkan bilangan katil pesakit, kata Dr Noor Hisham. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Semua hospital swasta diminta bersiap sedia untuk berdepan dengan kadar peningkatan kes COVID-19 yang mendadak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes COVID-19 melibatkan hospital di seluruh negara semakin meningkat termasuk penggunaan fasiliti di unit rawatan rapi (ICU).
“Kadar penggunaan katil di ICU di hospital di bawah KKM (Kementerian Kesihatan) kini meningkat melebihi 70 peratus dan di Wilayah Tengah telah melebihi 100 peratus.
“Kadar kes positif harian menunjukkan peningkatan sebanyak sebanyak 19.1 peratus berbanding sebelum PKP3.0.
“Bilangan kes harian kini masih tinggi tanpa menunjukkan sebarang penurunan dalam jangka masa terdekat
“Setiap hospital swasta yang sedang merawat pesakit COVID-19 perlu meningkatkan lebih banyak katil untuk merawat pesakit COVID-19,” katanya dalam satu surat kepada hospital swasta bertarikh 20 Mei 2021.
Salinan surat berkenaan diciap di akaun Twitter Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) sebelum diulang ciap di Twitter KKM, pada Khamis.

Attention to all private hospitals.. More beds for treating COVID-19 needed..!! "Setiap hospital swasta yang sedang merawat pesakit COVID-19 perlu meningkatkan lebih banyak katil untuk merawat pesakit COVID-19"#KitaJagaKita #Letsworktogether pic.twitter.com/beSh8WAtrx

— CKAPS (@CKAPS_KKM) May 20, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dr Noor Hisham dalam masa sama menyedari akan keadaan di hospital swasta yang turut mengalami lambakan pesakit COVID-19.
Bagaimanapun, katanya KKM ketika ini memerlukan kerjasama daripada hospital swasta bagi berdepan sebarang kemungkinan dan situasi luar jangkaan.
“Bilangan maksimum katil yang boleh diagihkan untuk pesakit COVID-19 adalah berdasarkan kapasiti katil wad dan ICU yang dilesenkan.
“Namun peningkatan agihan tersebut perlu berdasarkan kemampuan hospital swasta tersebut tanpa menjejaskan kualiti jagaan kesihatan kesihatan pesakit,” katanya lagi.
#Dr Noor Hisham Abdullah #ICU #hospital swasta #bersedia #lonjakan kes #peningkatan kes #wad #kapasiti maksimum
;