COVID-19: Dos penggalak tingkat imuniti, rendahkan kebarangkalian dijangkiti, kes serius - Pakar

Ridauddin Daud
Februari 22, 2022 10:29 MYT
Kebarangkalian untuk mendapat jangkitan COVID-19 kali kedua juga lebih rendah sekiranya seseorang individu mendapatkan dos penggalak. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dos penggalak dapat meningkatkan imuniti individu dan mengurangkan kebarangkalian dijangkiti COVID-19, kata Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, Dr Alif Adlan Mohd Thabit.
Menurutnya, sekiranya mereka yang sudah menerima dos penggalak masih dijangkiti, kebarangkalian untuk ia menjadi teruk adalah lebih rendah berbanding individu yang tidak mengambil dos penggalak.
Tambah beliau, kebarangkalian untuk mendapat jangkitan kali kedua juga lebih rendah sekiranya mereka mendapatkan dos penggalak.
“Sebenarnya dengan peredaran masa, kebolehan imunisasi badan manusia untuk melawan COVID-19, semakin lama didapati semakin menurun.
BACA: COVID-19: Penerima dos penggalak paling terlindung - Dr Noor Hisham
BACA: Dos penggalak: Berhenti baca konspirasi sampah di Facebook - Khairy
“Ada kajian pada tahun lepas, antara April hingga September, kecenderungan untuk dijangkiti COVID-19 yang serius menjadi lebih rendah dengan peredaran masa selepas beberapa bulan.
“Disebabkan itu masyarakat disarankan untuk ambil dos penggalak terutama sekali bagi warga emas, ada komorbid seperti darah tinggi, kencing manis dan mereka yang memiliki imuniti rendah,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Selasa.
Katanya lagi, meskipun ada yang masih enggan menerima dos tersebut kerana bimbang dengan kesan sampingannya, Dr Alif Adlan berkata respons manusia terhadap vaksin adalah berlainan, tidak boleh disamakan dengan individu lain.
“Sebab itu apa yang kita nasihatkan ialah selepas dapatkan dos penggalak, mereka perlu berehat secukupnya, minum air dengan mencukupi dan cuba untuk tidak membuat aktiviti-aktiviti kasar (lasak).
AWANI Pagi: #COVID19 | Ibu hamil dan dos penggalak
“Aktiviti kasar itu maksudnya seperti aktiviti yang aktif, agresif supaya mereka dapat mengurangkan kesan sampingan daripada vaksin atau dos penggalak,” ujarnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebelum ini berkata, dos penggalak mampu mengurangkan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia yang dicetuskan oleh gelombang varian Omicron ketika ini.
Jelasnya, menerusi data yang dikumpulkan dari 24 Januari hingga 21 Februari, kumpulan individu tidak divaksin merupakan golongan paling berisiko dijangkiti COVID-19 yang serius terutama Kategori 4 dan 5.
Tambahnya, perkara itu dibuktikan dengan kes COVID-19 per 100,000 populasi mengikut status vaksinasi meningkat kira-kira 10 hingga 80 kes direkodkan untuk Kategori (3,4,5) bagi semua kumpulan umur.
COVID-19 | Individu tidak divaksin paling berisiko jangkitan serius
#dos penggalak #penyakit berjangkit #Omicron #Dr Noor Hisham Abdullah