COVID-19: 'Doalah supaya plateau..', perintah Kawalan Pergerakan mula tunjuk kesan

Astro Awani
Mac 19, 2020 18:32 MYT
Adham yakin usaha Perintah Kawalan Pergerakan mmapu memutuskan rantaian jangkitan. - Gambar fail
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berjaya membuktikan keberkesanannya apabila keluk graf jumlah kes baharu harian mula mendatar (plateau).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, inisiatif itu telah menunjukkan perkembangan awal yang positif.
“Doakan supaya plateau dan kita dapat atasi (dengan) berbaki lagi 12 hari dalam perintah tersebut," ujar beliau.
Dr Adham berkata demikian dalam sidang media Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada Khamis.
Pada 15 Mac lalu, sebanyak 190 kes jangkitan direkodkan iaitu kes tertinggi yang dilaporkan setakat ini. Ia diikuti 125 kes pada Selasa dan 120 kes Rabu.
Pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan menyaksikan sebanyak 117 kes dicatatkan. Jumlah itu menurun pada hari kedua pelaksanaan perintah ini iaitu sebanyak 110 kes sehingga jam 12 tengah hari Khamis.
Beliau yakin ini berkat usaha Perintah Kawalan Pergerakan yang menyaksikan rakyat Malaysia duduk di rumah sekali gus memutuskan rantaian jangkitan.
#Adham Baba #COVID-19 #jangkitan #Kementerian Kesihatan #koronavirus #perintah kawalan pergerakan #rakyat Malaysia
;