COVID-19: Doa wabak pulih sebelum musim haji - Zulkifli
Wan Syamsul Amly
Mac 13, 2020 09:51 MYT
Mac 13, 2020 09:51 MYT
Umat Islam di negara ini harus sentiasa berdoa untuk memastikan wabak COVID-19 yang melanda dunia pulih sebelum musim haji akan datang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, buat masa ini, masih terlalu awal untuk menentukan status jemaah yang berpeluang ke Tanah Suci tahun ini.
"Perkara ini kita kena lihat waktu yang hampir dengan masa ibadah tersebut. Maksud saya, ketika mana hampir waktu haji.
"Sekarang kita ada dalam empat bulan lagi, jadi waktu itu nanti, mungkin kita doa pada Allah supaya wabak seperti ini sudah berlalu pergi, InsyaAllah.
"Sebolehnya, tidak perlu ditanya sekiranya wabak ini terus ada. Kita tunggu dulu, InsyaAllah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis tahnik di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin di sini, hari ini.
Lebih 40 orang bayi ditahnikkan pada majlis berkenaan.
Penerbangan pertama jemaah haji tahun ini adalah pada 22 Jun.
Seramai 31,600 bakal jemaah dijangka berangkat ke Tanah Suci pada tahun ini.
Dalam pada itu, ketika mengulas saranan menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah, Zulkifli menjelaskan, keputusan rasmi akan diumumkan dalam sedikit masa lagi.
Solat Jumaat di seluruh negeri Perlis pada hari ini dibatalkan dan digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing selepas mengambil kira situasi semasa COVID-19.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Negeri Perlis (MAIPs) menerusi satu kenyataan menjelaskan, perkara terbabit diputuskan selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail semalam.
#COVID-19
#doa
#Haji
#ibadah
#Islam
#menteri
#penerbangan
#Perlis
#Raja Perlis
#Solat Jumaat
#tahnik
#Tanah Suci
#wabak
#Zulkifli Mohamad Al-Bakri