COVID-19 di Malaysia: 1,103 kes baharu, empat kematian
Hilmi Malik
November 16, 2020 18:17 MYT
November 16, 2020 18:17 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pertambahan sebanyak 1,103 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 48,520 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada pertambahan kes baharu itu, terdapat satu kes import dilaporkan hari ini yang menerima jangkitan dari luar negara.
“Terdapat satu kes import yang dikesan di Selangor yang menerima jangkitan dari luar negara melibatkan warganegara yang tiba dari Arab Saudi.
“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini adalah sebanyak 12,601 kes,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 pada Isnin.
Bagi kes penularan mengikut negeri, Kuala Lumpur mencatatkan angka tertinggi dengan pertambahan sebanyak 392 kes diikuti Sabah dengan pertambahan sebanyak 288 kes.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini turut melaporkan, terdapat pertambahan empat kes kematian baharu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 313 kes.
Setakat ini, sebanyak 102 kes positif COVID-19 sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 39 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.
Dalam pada itu, Malaysia terus mencatatkan pertambahan kes sembuh sebanyak 821 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih kini sebanyak 35,606 kes.