COVID-19: Dewan Rakyat bersidang separuh hari minggu ini
Firdaus Azil
November 3, 2020 11:18 MYT
November 3, 2020 11:18 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas sesi Dewan Rakyat semalam ditangguhkan sehingga jam 1 tengah hari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan hari ini sekali lagi membentangkan usul sama.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu, selari dengan Peraturan Mesyuarat 12 (1), mencadangkan agar sesi persidangan untuk 3, 4 dan 5 November bermula dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Sehubungan itu, persidangan Kamar Khas turut diawalkan kepada pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari atau setelah selesai urusan dalam aturan urusan mesyuarat Kamar Khas, bermula hari ini hingga Khamis.
Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat harian biasa, persidangan Kamar Khas dijalankan pada pukul 2.30 petang.
“Parlimen tetap diteruskan dengan pengubahsuaian masa dan takwim sebagai langkah berhati-hati pencegahan berkaitan COVID-19 selaras dengan nasihat pakar dan badan profesional,” Takiyuddin menjelaskan melalui ciapan di Twitter beliau selepas itu.
Usul penangguhan yang dikemukakan Takiyuddin sebelum sesi soal jawab itu disokong Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Usul itu kemudiannya mendapat reaksi daripada beberapa Ahli Parlimen yang meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan mengenai status beberapa petugas di Parlimen yang dilapor positif COVID-19.
Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) memohon penjelasan mengenai seorang polis bantuan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang disahkan positif COVID-19 hasil ujian pada Rabu (28 Okt).
Katanya, beliau bimbang petugas tersebut ada bertugas di Parlimen dan menimbulkan risiko kepada staf yang lain.
"Mereka berlegar di sini... jadi saya agak bimbang dalam suasana dan keadaan begini, pertama apakah benar empat orang staff Dewan Negara itu positif dan polis bantuan itu positif?" soal Mahfuz.
Susulan itu, Azhar menjelaskan petugas Dewan Negara dan anggota polis bantuan yang didapati positif COVID-19 tidak berada di bangunan Parlimen selepas menjalani ujian tersebut.
Katanya, laporan media berhubung polis bantuan itu adalah tidak benar dan individu terbabit sebenarnya bertugas di tempat lain.
"Laporan semalam yang mengatakan polis bantuan kita (di Parlimen) yang mendapat COVID-19 sebenarnya tidak benar. Bukan polis bantuan kita sebenarnya, (tetapi) polis bantuan yang bertugas di tempat lain.
"Jadi, perkara itu satu kesilapan. Dia bukan bertugas di sini. Saya difahamkan dia bertugas di tempat lain. Di bawah JPM boleh jadi, tetapi bukan bertugas di pejabat PM, dia bertugas di tempat lain," katanya.
Mengenai laporan empat petugas Dewan Negara positif COVID-19, Azhar berkata mereka bukan kakitangan Dewan Negara, sebaliknya petugas kepada seorang Ahli Dewan Negara yang hadir ke Parlimen membuat ujian COVID-19 pada Rabu lepas.
"Mungkin Senator itu dan stafnya hendak menghadiri Belanjawan 2021 Jumaat ini.
"Mereka hadir membuat ujian saringan dan didapati positif, tetapi mereka tidak datang hari-hari dan berlegar di Parlimen, jadi itu bukan kesnya," kata Azhar.
Sementara itu, Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) yang berkongsi pejabat dengan Senator berkenaan ingin tahu bila kali terakhir pegawai Senator itu hadir ke pejabat dan sama ada kawasan itu telah disanitasi.
Azhar kemudiannya memaklumkan, pihaknya akan mengeluarkan penjelasan berhubung perkara itu dan meminta semua Ahli Parlimen bertenang.
"Saya minta semua Ahli Parlimen bertenang dan jaga keselamatan masing-masing. Ikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan.
"Kita semua di sini negatif COVID-19… jadi, bawa bertenang," katanya.
#Takiyuddin Hassan
#Dewan Rakyat
#Parlimen
#operasi
#undang-undang
#pandemik
#COVID-19
#menteri
#Mahfuz Omar
#Media