COVID-19: Demi keselamatan, pelajar UPSI kuliah atas talian

Kenyataan Media
Mac 22, 2020 15:56 MYT
Pensyarah perlu memanfaatkan sistem yang dibangunkan seperti memuatkan naik rakaman video dan terus berinteraksi dari rumah sahaja. - Gambar hiasan
PELAJAR Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak dibenarkan keluar dari rumah sama ada di kampung, kolej kediaman atau rumah sewa dan segala aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP) perlu dibuat secara atas talian (online) bersama pensyarah selaras dengan arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berikutan masalah wabak Covid-19 yang melanda negara.
UPSI yang mendapat akreditasi MQA (Agensi Kelayakan Malaysia) untuk pelaksanaan Open and Distance Learning (ODL) sekali gus menunjukkan infrastruktur UPSI untuk "online learning" sudah mantap yang memenuhi arahan KPT.
Dalam situasi kritikal dan berbahaya sekarang, sistem MyGuru yang dibangunkan oleh UPSI perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pensyarah dan pelajar kerana apa yang penting PdP dilaksanakan dan tugasan dapat disiapkan.
Pensyarah perlu memanfaatkan sistem yang dibangunkan seperti memuatkan naik rakaman video dan terus berinteraksi dari rumah sahaja.
Semua pensyarah telah diberi latihan-latihan berkaitan antaranya Massive Open Online Learning (MOOC), Open Educational Resources (OER), Flipped Classroom sejak 2018 bagi melengkapkan pensyarah untuk menjalankan sesi PdP secara atas talian.
Memandangkan keadaan penularan Covid-19 semakin kritikal berikutan orang ramai tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pensyarah tidak dibenarkan menjalankan kuliah secara bersemuka pada semester ini, sebaliknya memanfaatkan ODL selain pensyarah menggunakan segala kreativiti mereka untuk berinteraksi dengan pelajar walaupun berjauhan.
Pensyarah dikehendaki menukar semua tugasan berbentuk lapangan atau bersemuka sama ada individu atau berkumpulan kepada tugasan secara online sahaja yang lebih memudahkan mencari bahan kerana pelajar pasti sukar melaksanakannya pada semester ini berikutan pelaksanaan PKP dan situasi semasa yang semakin kritikal.
Patuhi arahan kerajaan dan pelajar UPSI dilarang sama sekali meninggalkan rumah yang mereka tinggal sekarang sama ada di kampung, kolej kediaman atau rumah sewa dan segala tugasan dilaksanakan dari rumah sahaja.
Semasa di rumah, pelajar jangan sekali-kali keluar rumah bertemu mana-mana individu, kerana dibimbangi ada sanak saudara mempunyai kontaks dengan jemaah tabligh yang dikesan ramai dijangkiti Covid-19.
Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran
Naib Canselor UPSI
#belajar #COVID-19 #kampus #online #pelajar #pensyarah #PKP #semester #Tanjung Malim #UPSI
;