COVID-19: Daerah pedalaman Sarawak terus catat peningkatan kes positif

Syafik Shukri Jalil
Januari 29, 2021 19:21 MYT
Sarawak juga melaporkan pertambahan Kluster Tabong di Bau sebagai kluster aktif di negeri itu menjadikan jumlah kluster aktif meningkat kepada 11. FOTO: Astro AWANI
KUCHING: Beberapa daerah pedalaman di negeri Sarawak melaporkan peningkatan kes positif COVID-19 pada Jumaat.
Peningkatan ini sekali gus menyaksikan daerah Song kini dikategorikan sebagai zon merah manakala Kapit zon jingga.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, daerah Song melaporkan pertambahan 54 kes positif.
“Daerah Song di Kapit telah bertukar kepada status merah setelah merekodkan 85 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
“Manakala daerah Kapit kini dikategorikan sebagai status jingga setelah 24 kes jangkitan tempatan direkodkan dalam tempoh sama,” katanya.
Selain itu, Sarawak hari ini merekodkan 179 kes positif baharu dengan Sibu kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 65 kes.
Ia diikuti Song (54), Miri (12), Kapit (11), Lundu dan Selangau (tujuh), Bau (enam), Bintulu (lima), Sebauh (tiga), Meradong dan Kanowit (dua) serta satu kes di Kuching, Pakan, Samarahan, Sarikei dan Serian.
“Kluster Pasai di Sibu terus mencatatkan jumlah kes positif harian tertinggi dengan 101 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 1,805.
“Sehingga kini 19,250 individu disaring dengan 16,289 disahkan negatif manakala 1,156 masih menunggu keputusan ujian makmal,” tambahnya.
Satu kematian akibat COVID-19 juga dilaporkan di Hospital Sibu menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 36 kes.
Dalam perkembangan sama, Sarawak juga melaporkan pertambahan Kluster Tabong di Bau sebagai kluster aktif di negeri itu menjadikan jumlah kluster aktif meningkat kepada 11.
Kes indeks kluster ini dikesan menerusi kes 3,718 yang menjalani saringan individu bergejala di sebuah hospital swasta di Kuching.
Setakat ini, tujuh kes positif termasuk kes indeks dikesan menerusi kluster ini.
#kes COVID-19 Sarawak #Kluster baharu di Sarawak #kluster aktif di Sarawak #kes kematian di Sarawak #Kluster Tabong Bau #Kluster Pasai di Sibu #JPBN Sarawak
;