COVID-19: Cuepacs harap elaun khas penjawat awam barisan hadapan diperluas
Bernama
Februari 28, 2020 07:03 MYT
Februari 28, 2020 07:03 MYT
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap elaun khas untuk penjawat awam yang terlibat dalam usaha menangani penularan COVID-19 diperluas.
Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata pelaksanaannya diharap dapat diperluaskan lagi kepada petugas yang bukan sahaja tertumpu di pintu masuk negara malah di pusat di mana pesakit COVID-19 dirawat.
Beliau berkata Cuepacs menyokong penuh dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan pemberian elaun khas kepada doktor, jururawat, petugas perkhidmatan kesihatan, pegawai imigresen dan pegawai lain di barisan hadapan.
"Kerajaan dilihat begitu prihatin dengan beban yang ditanggung oleh penjawat awam ketika wabak COVID-19 ini berlaku.
"Dengan pemberian elaun khas ini, sudah semestinya petugas-petugas berasa gembira dan seterusnya akan sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti kepada rakyat serta negara dalam melindungi Malaysia daripada penularan COVID-2019," menurutnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dr Mahathir ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada Khamis berkata kerajaan akan memberi elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor serta petugas perubatan dan RM200 kepada Imigresen serta petugas lain yang terlibat, berkuat kuasa Februari 2020 hingga penularan COVID-19 berakhir.
-- BERNAMA
#Adnan Mat
#barisan hadapan
#COVID-19
#cuepacs
#Doktor
#elaun khas
#Imigresen
#pakej rangsangan ekonomi
#penjawat awam
#petugas perubatan
#pintu masuk negara
#wabak