COVID-19: CAC cadangan yang baik namun menguruskannya lebih penting- Pakar
Astro Awani
Januari 23, 2021 11:42 MYT
Januari 23, 2021 11:42 MYT
KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menambah kakitangan dalam kadar segera terutamanya selepas lebih banyak Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) bakal dibuka selepas ini.
Presiden Persatuan Pakar Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, meskipun banyak CAC muncul selepas ini namun jika tiada orang menguruskannya, sukar untuk melihat keberkesanannya.
Tambah beliau, penubuhan CAC merupakan cadangan yang baik namun ia juga perlu penambahbaikan agar semuanya berjalan lancar.
“Apa yang penting dalam pengurusan ini adalah aliran sistem itu dan sistem tersebut melibatkan kakitangan. Ini yang kita selalu beritahu kepada kementerian. Mesti ada penambahan kakitangan.
“Dalam keadaan sekarang, walaupun ada banyak pusat (CAC), ada pengurusan aliran sistem yang baik tapi kalau tidak cukup orang yang mengurusnya, maka ia sukar untuk menjadi,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Sabtu.
Tambah beliau, sekiranya CAC menggunakan staf kesihatan sedia ada dari klinik-klinik kesihatan berhampiran, ia akan menambah beban kepada petugas berkenaan.
“Di klinik mereka kena pantau, di CAC pun kena pantau, jadi pengurusan menjadi tidak teratur.
“Mungkin akan ada banyak kelemahan dan akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
“Pada kami, kementerian boleh adakan banyak pusat tetapi mesti ada penambahan kakitangan yang lebih daripada sekarang untuk uruskan sistem aliran itu,” ujarnya lagi.
#KKM
#COVID-19
#Kementerian Kesihatan
#kesihatan
#CAC
#barisan hadapan
#frontliner
#sistem
#Beban
#petugas
#petugas kesihatan
#pengurusan