COVID-19: Cabaran emosi, mental di tengah pandemik dan cara menanganinya

Najmi Syahiran Mamat
Mei 17, 2020 09:03 MYT
Berikut langkah mudah bagi menangani cabaran emosi ketika berdepan pandemik seperti yang disarankan oleh pakar. - Gambar fail
SUDAH hampir enam bulan kita berdepan dugaan mencabar dalam memerangi ‘musuh halimunan’ ini.
Keresahan, kesedihan dan ketidaktentuan, tentunya ditafsirkan secara berbeza bagi setiap individu kerana masing-masing ada dugaan dan tanggungjawab yang perlu dihadapi.
Namun, apakah perkara yang boleh kita ubah suai dengan keadaan semasa ketika berdepan situasi penularan pandemik COVID-19 ini?
Menurut Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Samhan Awang, cabaran emosi boleh ditangani dengan rasional-rasional positif yang boleh diambil sepanjang melawan perasaan negatif itu tadi.
Berikut langkah mudah bagi menangani cabaran emosi ketika berdepan pandemik seperti yang disarankan oleh beliau:
Berasa bimbang dan resah itu normal
Terdapat banyak yang kita tidak tahu mengenai virus COVID-19, jadi ia adalah tindak balas normal dan biasa untuk berasa bimbang, cemas, dan resah tentang impak dan penyebarannya.
Jika berasa bimbang dan resah, penting untuk anda kekal tenang dan sentiasa berfikir bahawa masih ramai mereka di luar sana yang sama-sama turut berjuang melawan pandemik ini.
Cabar pemikiran negatif
Melihat dari pelbagai perspektif, berfikiran rasional dan berfikiran optimis dapat membantu mengurangkan kebimbangan dan tekanan anda.
Libatkan diri dengan aktiviti berfaedah
Ambil tindakan untuk lindungi diri anda, pastikan penjagaan diri diamalkan dan kekal aktif ketika berada di rumah.
Hilangkan tekanan dan lakukan aktiviti regangan fizikal
Latihan pernafasan dan meditasi mampu mengurangkan kebimbangan dan meningkatkan kesejahteraan umum.
Memetik artikel myHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan mengamalkan teknik pernafasan yang betul, umpamanya, kita boleh menjadi lebih tenang ketika berhadapan dengan situasi yang tegang.
Ia dapat meningkatkan pertukaran antara oksigen dan karbon dioksida, meningkatkan peredaran darah dan mengurangkan ketegangan.
Latihan teknik pernafasan dapat dilalukan dengan memilih satu keadaan yang tiada gangguan dan selesa.
Demikian empat tip yang mungkin dilihat mudah namun jika diamalkan setiap hari pasti dapat melihat impaknya kelak.
#cabaran emosi #COVID19 #Dr Samhan #HKL #Kementerian Kesihatan #kesihatan #kesihatan mental #koronavirus #pandemik #stress #tangani stres
;