COVID-19: Bukan masa kaut untung, pihak swasta perlu duduk sebaris bantu kerajaan - MCCF

Fauzi Suhaimi
Februari 1, 2021 16:09 MYT
Halim berkata, kaedah saringan RT-PCR adalah tepat dan cepat walaupun kosnya sedikit lebih mahal berbanding RTK-Ag. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menyangkal dakwaan mengatakan kos ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerese Chain Reaction (RT-PCR) sukar diturunkan oleh pengamal hospital dan klinik swasta.
Pengerusi MCCF, Datuk Halim Ishak berkata, sebaliknya, adalah menjadi tugas dan tanggungajawab semua pihak termasuk hospital dan klinik swasta untuk bersama mengembeling usaha dan tenaga dalam membantu melaksanakan saringan RTPCR.
Katanya, kaedah saringan RT-PCR adalah tepat dan cepat walaupun kosnya sedikit lebih mahal berbanding Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag).
"Ini antara faktor utama Program Saringan Prihatin Komuniti MCCF mengenakan bayaran saringan RT-PCR purata antara di bawah harga RM220 (secara berkelompok) di lokasi pelanggan.
"Ketika ini bukanlah masa untuk mengaut keuntungan daripada rakyat dengan mengenakan bayaran saringan yang tinggi.
"Apa yang lebih penting adalah semua pihak termasuk agensi kerajaan, hospital dan klinik swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu membuat saringan RT-PCR kepada semua komuniti agar pihak KKM segera mengesan dan memantau penularan pesakit COVID-19," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Terdahulu Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh berkata, pihaknya sukar menurunkan caj saringan COVID-19 kerana kebanyakannya menggunakan ujian RT-PCR yang jauh lebih mahal berbanding RTK-Ag.
Dalam pada itu, Halim berkata, MCCF juga menyarankan agar semua hospital dan klinik swasta untuk menjalankan rasa tanggungjawab dengan membantu menyelamatkan nyawa tanpa mengira bangsa dan negara.
"Sehubungan itu, MCCF juga menyarankan agar pihak kerajaan benar-benar menguatkuasakan Akta 342 (Pengawalan Penyakit Berjangkit) dengan menyaman dan menyita majikan di mana-mana premis perniagaan, kilang dan tapak pembinaan yang tidak membuat saringan untuk pekerja asing dan warganegara yang bekerja di syarikat mereka," tegasnya.
#COVID-19 #penyakit berjangkit #kerajaan #KKM #NGO #presiden #pekerja asing #Malaysia #Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia #RT PCR #RTK-Ag #hospital swasta
;