COVID-19 bukan lagi kecemasan antarabangsa, amalan norma baharu sudah tak perlu?
Kenyataan Media
Mei 8, 2023 15:10 MYT
Mei 8, 2023 15:10 MYT
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada 5 Mei lalu memutuskan COVID-19 global tidak lagi dikategori sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa selepas dunia dilanda pandemik itu sejak tiga tahun lepas.
Walau bagaimanapun, setiap negara diingatkan perlu membuat persediaan dan langkah-langkah kawalan risiko yang jelas bagi memastikan penularan jangkitan dapat dikawal sebaik mungkin di lokaliti masing-masing.
Selain itu, WHO juga mengesyorkan masyarakat antarabangsa memberi tumpuan kepada aktiviti penilaian risiko ancaman varian-varian baharu, dengan terus mempertingkatkan kerjasama bagi menghasilkan vaksin dan rawatan yang efektif.
Negara asal virus COVID-19, China masih terus mengklasifikasikan COVID-19 sebagai virus yang kekal berbahaya dan boleh melonjakkan jangkitan pada bila-bila masa.
Para saintis serta penyelidik mereka masih terus memantau sambil pihak kesihatan awam meningkatkan program vaksinasi dalam kalangan kumpulan populasi berisiko tinggi.
Di Malaysia, bermula pada pertengahan Februari hingga awal Mei 2023 memang terdapat peningkatan ketara jumlah kes harian COVID-19.
Walau bagaimanapun, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan ianya masih terkawal dan tidak membebankan perkhidmatan kesihatan dengan majoriti pesakit yang dimasukkan ke hospital adalah tahap 1 dan 2 daripada kalangan kelompok berisiko tinggi seperti individu dengan komorbid dan warga emas.
Adakah pemakluman ini menggambarkan bahawa isu COVID-19 dunia telah mula memasuki era endemik?
Bagaimana negara dan rakyat harus respons dengan kenyataan ini? Apakah kita semua telah faham akan peranan dan tanggungjawab kesihatan awam dalam memasuki era endemik ini?
Suka saya berkongsi pandangan daripada sudut pengurusan risiko keselamatan dan kesihatan awam berhubung dua perkara asas yang perlu kita semua fahami apabila mula memasuki era endemik COVID-19.
Pertama, terus mengekalkan disiplin yang tinggi dalam penjagaan kebersihan kendiri dengan memberikan keutamaan kepada penjagaan kesihatan dan keselamatan diri sendiri dan orang lain di sekeliling, pamatuhan peraturan semasa, garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak berwajib.
Kedua, meningkatkan imuniti diri dengan melengkapkan vaksinasi dos pertama, kedua serta dos penggalak.
Sekiranya perlu mungkin pengambilan vaksin dos tahunan juga boleh dipertimbangkan bagi tujuan menyediakan sistem pertahanan badan yang lebih baik.
Ketiga, virus COVID-19 sentiasa boleh bermutasi dan berubah kepada varian baharu. Ini akan memberikan gelombang jangkitan baharu dan tekanan kepada sektor kesihatan awam negara.
Oleh yang demikian, kesiapsiagaan kesihatan awam perlulah berada di tahap yang terbaik dalam kecukupan sumber manusia, kemudahan, keupayaan serta kebolehdapatan kemudahan fasiliti kesihatan.
Ini termasuklah peruntukan kewangan dan perubatan yang mencukupi.
Selain itu, antara perkara lain yang boleh terus diamalkan adalah seperti:
a. Terus patuh kawalan jangkitan COVID-19
Meningkatkan disiplin keselamatan dan kesihatan kendiri dalam setiap aktiviti kerja mahupun sosial.
Memakai pelitup muka, penjarakkan (>1m) dan kerap sanitasi/membasuh tangan apabila berada di tempat awam yang sesak dan berisiko tinggi.
Kerap membasuh tangan dan menghindari kontak langsung dengan individu lain. Melengkapkan diri dengan pengambilan vaksinasi yang secukupnya juga adalah merupakan satu keperluan mesti bagi semua orang.
b. Perkasa aplikasi digital, bekerja dari rumah
Bagi sektor pekerjaan, majikan, pekerja dan mereka yang bekerja sendiri harus bersama-sama meneruskan kelangsungan amalan norma baharu seperti memperkasakan penggunaan aplikasi digital, bekerja dari rumah, fleksibiliti tempoh masa bekerja dan meningkatkan kualiti per masa bekerja.
Setiap organisasi atau jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja juga perlu bersiap sedia dan berkemahiran melaksanakan aktiviti penilaian risiko jangkitan COVID-19 atau varian baharu secara berkala di tempat kerja masing-masing.
c. Pelan pengurusan risiko
Program yang melibatkan komuniti, kelompok pekerja yang ramai, anak-anak pelajar di sekolah atau universiti, sebagai contoh aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP), sambutan perayaan, aktiviti jamuan atau kenduri kendara, sukan dan rekreasi, pilihan raya dan majlis-majlis keagamaan mestilah menyediakan pelan pengurusan majlis dengan mengambil kira aktiviti pengenalpastian, penilaian serta kawalan risiko jangkitan COVID-19 bagi situasi sebelum, semasa dan selepas program dilaksanakan.
d. Pemantauan kesihatan
Pemantauan kesihatan secara komprehensif perlu dilaksanakan bagi individu yang ada menunjukan gejala. Membudayakan amalan Penilaian Kendiri seperti TRIIS (Test-Uji, Report-Lapor, Isolate-Asing, Inform-Maklum, Seek-Dapatkan Rawatan) juga boleh terus diperkasakan lagi semasa di era endemik ini.
e. Penyelidikan dan pembangunan (R&D)
Universiti, pusat atau institusi penyelidikan kesihatan harus secara proaktif menjalankan penyelidikan dan pembangunan berkaitan pencegahan dan rawatan COVID-19 atau lain-lain isu kesihatan dan keselamatan yang yang mungkin wujud akibat daripada pendedahan risiko-risiko kesihatan yang ada.
Pakar-pakar dan penyelidik ini perlu duduk semeja mencari sumber rujukan, membekalkan maklumat, data serta innovasi dalam mencadangkan kaedah rawatan dan kawalan yang terbaik dalam menangani isu kesihatan awam.
f. Kestabilan politik
Ahli politik dan semua pemimpin juga mesti lebih bertanggungjawab dan berkhidmat secara kolektif dalam memastikan kestabilan politik negara.
Dari sudut pengurusan risiko, faktor kestabilan politik adalah sangat penting terutama semasa dan selepas fasa krisis.
Rakyat sudah pasti tidak mahu fokus KKM dan lain-lain kementerian yang menguruskan isu keselamatan dan kesihatan rakyat terganggu, malah ianya sudah pasti akan turut memberi kesan kepada pelan pemulihan ekonomi negara.
g. Kekal amalan norma baharu
Akhir sekali semua pihak jangan terburu-buru kembali kepada amalan-amalan lama, kita harus terus memandang ke hadapan dan meneruskan amalan norma baharu.
Kemas kini dan teruskan penggunaan aplikasi digital secara bijak, pembelajaran, pengajaran, mesyuarat serta perbincangan dalam talian.
Amalkan ‘evidence-based decision making’ atau membuat keputusan berasaskan data dan maklumat yang tepat serta terkini.
Keputusan yang cepat dan tepat adalah penentu kepada kejayaan aktiviti kawalan pengurusan risiko.
Kerajaan mesti mengutamakan keselamatan dan kesihatan rakyat, barulah rakyat mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kerajaan, dan kita semua harus kekal bersama sebagai satu keluarga Malaysia Madani.
Artikel ini disediakan oleh Pakar Pengurusan Risiko Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Felo, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Madya Ts Dr Shamsul Bahari Shamsudin.