COVID-19: Buka hospital sementara rawat pesakit kategori 3 - Tun Mahathir
Nursyazwani Saiful Sham
September 1, 2021 12:20 MYT
September 1, 2021 12:20 MYT
KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kepada kerajaan untuk membangunkan hospital sementara bagi merawat pesakit COVID-19 kategori tiga.
Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, hospital sementara tersebut disarankan memberi bekalan oksigen dengan pemantauan oleh beberapa doktor dan jururawat kepada pesakit.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, hospital sementara amat diperlukan berikutan negara mencatatkan peningkatan jumlah kematian akibat COVID-19 sehinggakan terdapat sejumlah mangsa yang dibawa ke hospital selepas meninggal dunia.
"Kategori 1,2, dan 3 diarah kuarantin di rumah. Di rumah tidak ada perawat atau oksigen. Kategori 3 yang sudah pun menunjuk paru-paru terjangkit, apabila menjadi lebih teruk tidak dapat apa-apa rawatan di rumah.
"Keluarga di rumah tidak dapat tolong kerana tidak boleh berdekat dengan pesakit. Doktor tidak dapat dipanggil. Pesakit jadi lebih teruk. Oksigen tidak ada di rumah. Dan akhirnya pesakit meninggal dunia.
"Lebih seribu pesakit kategori 3 boleh dikuarantin di hospital sementara. Pihak tentera boleh bina hospital ala field hospital. Dewan-dewan di hotel dan bangunan lain boleh dilengkap dengan katil, oksigen dan doktor serta jururawat.
"Apabila dikesan pesakit sudah jadi lebih serius, doktor dan jururawat boleh beri oksigen. Jika kurang respon, pesakit boleh dipindah ke hospital biasa," jelasnya menerusi perkongsian terbaharu di blog peribadinya.
Dr Mahathir juga berpendapat, satu pasukan doktor dan jururawat perlu diadakan kepada kategori 1 dan 2 yang dikuarantin di rumah.
Dengan itu jika ada pesakit yang menjadi lebih teruk oksigen boleh diberi manakala kes yang serius mereka boleh dipindah ke hospital atau hospital untuk pesakit kategori 3.
Justeru itu, beliau mengharapkan agar cadangan ini diterima baik oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha untuk mengurangkan jumlah kes baharu dan jumlah kematian.
#COVID-19
#jumlah kematian
#Kementerian Kesihatan
#Mahathir Mohamad
#hospital sementara
#pesakit kategori 3