COVID-19: Bomba turut berganding bahu bawa pesakit ke hospital

Nur Fazlizai Ali
Mac 19, 2020 17:21 MYT
JBPM Terengganu turut berganding bahu membawa para pesakit yang disyaki dijangkiti COVID-19 untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital. - Astro AWANI
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu turut berganding bahu membawa para pesakit yang disyaki dijangkiti COVID-19 untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital.
Pengarahnya Md Hilman Abd Rashid berkata kira-kira 20 pesakit telah dipindahkan pihaknya sejak Ahad lalu.
Katanya, kesemua pesakit terdiri daripada penghuni di sebuah madrasah di Kuala Terengganu.
Menurut Md Hilman setiap anggota yang bertugas dalam bantuan COVID-19 itu dibekalkan dengan pakaian khas.
“Dari segi keselamatan, anggota kita dibekalkan dengan PPA mencukupi dan kita mendapat maklumat daripada hospital sebelum memasuki kawasan-kawasam kritikal atau red zone dan anggota kita akan dipakaikan dengan PPA yang mencukupi dan setakat ini tidak ada masalah,” katanya.
BACA: COVID-19: 110 kes baharu dicatat, jumlah terkini 900
Beliau berkata sebanyak dua buah ambulan juga disediakan bagi membawa pesakit yang disyaki dijangkiti COVID-19.
Katanya, setakat ini kesemua pegawai dan anggotanya bebas dari sebarang jangkitan virus berkenan.
Jelas Md Hilman, ujian saringan sentiasa dilakukan selepas kesemua mereka selesai melakukan operasi.
Pada ahad, Astro AWANI melaporkan sebuah madrasah di Kuala Terengganu ditutup selama 14 hari bagi mengekang penyebaran virus COVID-19.
Difahamkan penutupan madrasah itu dibuat berikutan terdapat ahli tabligh yang singgah di madrasah berkenaan telah disyaki positif COVID-19 pada pemeriksaan peringkat awal.
#COVID-19 #Hospital #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #JBPM Terengganu #Kuala Terengganu #madrasah #pesakit
;