COVID-19: Biarpun terkilan dan kecewa, rakyat tak boleh mengalah
Firdaus Azil
Oktober 6, 2020 14:46 MYT
Oktober 6, 2020 14:46 MYT
KUALA LUMPUR: Biarpun berasa terkilan dan kecewa kerana penguatkuasaan seolah-olah dwi-standard, tetapi rakyat digesa agar tidak mengalah, malah terus bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan untuk meminimumkan jangkitan COVID-19.
Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, hal itu amat perlu memandangkan virus berkenaan akan terus berada dalam komuniti.
Di samping itu, beliau turut menggesa penguatkuasan untuk lebih efektif dan adil, supaya moral rakyat tidak akan jatuh secara berterusan.
“Penguatkuasaan mesti dilihat sebagai efektif dan adil supaya rakyat tak hilang moral dan kecewa. Kita harus ikut saranan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah), kerana sebagai rakyat walaupun kita sedikit terkilan kerana beberapa perkara rakyat nampak dwi-standard, kita tak boleh mengalah.
“Dan tidak seperti awal (pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan) dulu, semua orang tak ada persediaan. Kita kurang peralatan perlindungan peribadi (PPE), topeng. Tetapi sekarang ini masalah itu sekurang-kurangnya telah diselesaikan, kerana kerajaan telah mengawal harga barang-barang tersebut,” katanya lagi.
Semalam negara mencatatkan bilangan kes baharu harian COVID-19 tertinggi sejak penularan wabak itu pada awal tahun ini, iaitu 432 kes, dengan 429 daripadanya adalah penularan dalam negara.
Jumlah itu dijangka akan meningkat hari ini, memandangkan KKM telah melaksanakan saringan bersasar dengan agresif di kluster-kluster aktif, untuk mengesan mereka yang dijangkiti COVID-19.
Bagaimanapun, masyarakat rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati memandangkan beberapa pemimpin dan ahli politik tidak mengendahkan saranan untuk kuarantin diri 14 hari selepas pulang dari kawasan berisiko tinggi.
Mengulas mengenai perkara itu, Dr Rafidah Hanim berkata, semua pihak, tidak kira rakyat mahupun pemimpin atasan, harus berdisplin dan mengikut saranan yang dikeluarkan KKM.
“Pesanan ini seharusnya diambil berat oleh para pimpinan kita kerana rakyat nak tengok mereka juga sabar dalam proses kuarantin.
“Proses ini mana-mana pihak pun rasa tersekat, kerana memang sifat manusia suka bersosial. Bila kena kuarantin, perlukan satu yang kita panggil semangat, dan semangat itu akan datang kalau pimpinan tunjukkan mereka juga kuarantinkan diri,” katanya lagi.
#Dr Rafidah Hanim Abdullah
#moral rakyat
#COVID-19
#pemimpin
#perintah kawalan pergerakan
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Kementerian Kesihatan
#kluster kayangan
#politik
#kerajaan