COVID-19: Berita gembira, kluster Sri Petaling diisytihar tamat

Hasimi Muhamad
Julai 8, 2020 10:27 MYT
Ketua Pengarah, Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama membabitkan kluster tersebut mula dikesan pada pada 11 Mac lalu.
Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengumumkan berita gembira selepas kluster terbesar negara, iaitu kluster Sri Petaling diisytiharkan tamat selepas tiada sebarang kes COVID-19 dicatatkan.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama membabitkan kluster tersebut mula dikesan pada pada 11 Mac lalu.
Ia menjangkiti seramai 3,375 individu yang menyertai perhimpunan berkenaan termasuk ahli keluarga mereka, tambahnya.
“Sehingga 8 Julai lalu, seramai 42,023 individu sudah disaring, daripada jumlah berkenaan 3,375 kes positif dilaporkan iaitu 38.9 peratus daripada jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia.
“Kes bagi kluster dan sub-kluster di bawahnya adalah dikesan di tujuh negeri membabitkan 2,550 warganegara Malaysia dan 825 bukan warganegara dari 28 negara,” katanya dalam sidang media, di sini pada Rabu.
Jelas Dr Noor Hisham, kluster tersebut berlaku selepas satu perhimpunan selama empat hari diadakan, dengan dihadiri lebih 16,000 individu.
Daripada jumlah kehadiran, seramai 14,500 individu merupakan rakyat Malaysia, sementara 1,500 lagi bukan warganegara.
"Kluster ini besar kemungkinan berpunca dari luar negara dan kemudiannya tular di dalam komuniti melalui aktiviti perhimpunan secara besar-besaran melalui kontak rapat kes yang positif.
"Penularan jangkitan COVID-19 melalui kluster ini telah menular ke seluruh negara Malaysia," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, kes positif COVID-19 pertama kluster itu dilaporkan seminggu selepas perhimpunan berakhir, iaitu melibatkan kes ke-131 dan kes ke-136.
Jelas beliau lagi, kebanyakan kes positif adalah tidak bergejala iaitu melibatkan 2,187 kes atau 64.5 peratus daripada jumlah keselurhan kes.
Seramai 87 pesakit daripada kluster tersebut dirawat di Unit rawatan rapi (ICU), sementara 29 memerlukan bantuan pernafasan.
#Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #kes positif #Kluster Sri Petaling #Media #Noor Hisham Abdullah