COVID-19 beri kesedaran kepada ASEAN, galak integrasi serantau lebih baik

Bernama
Jun 23, 2020 04:11 MYT
COVID-19 perlu menjadi kesedaran kepada ASEAN tentang integrasi serantau yang lebih baik, seterusnya memahami keperluan strategik untuk sesebuah rantau yang ingin memelihara kedinamikan ekonomi dan kebebasan geostrategik. - Gambar fail
Kuasa pertengahan seperti Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN perlu memberi tumpuan kepada pengajaran daripada COVID-19 mengenai kepentingan kesesuaian keterbukaan global dan perdagangan bebas yang berterusan, menurut Institut Penyelidikan CIMB ASEAN (CARI).
Pengerusi CARI, Tan Sri Dr Munir Majid berkata perkara tersebut perlu diberi perhatian berikutan banyak negara berusaha untuk kembali kepada angka pertumbuhan sebelum COVID-19 selain memberi respons kepada keraguan masyarakat yang meningkat terhadap manfaat globalisasi.
Beliau berkata pandemik itu telah meningkatkan ketegangan geo-ekonomi antara kuasa-kuasa besar, dengan blok serantau seperti EU dan ASEAN semakin tertekan untuk memilih pihak dengan menjejaskan perpaduan dalaman mereka sendiri.
"COVID-19 perlu menjadi kesedaran kepada ASEAN bahawa integrasi serantau yang lebih baik bukan sesuatu untuk dipertimbangkan, tetapi keperluan strategik untuk sesebuah rantau yang ingin memelihara kedinamikan ekonominya dan kebebasan geostrategik.
"Bagaimanapun, kedinamikan dan sejarah dalaman kita yang berbeza, pengalaman perdagangan dan institusi EU boleh memberi pengajaran yang perlu diambil perhatian oleh ASEAN," katanya pada webinar CARI Briefings bertajuk, 'Bagaimana ASEAN Dapat Meningkat Semula: Perspektif EU', pada Selasa.
Dalam kenyataan, CARI berkata sesi itu, yang dikendalikan oleh Munir, turut menampilkan Paolo R. Vergano, felow kanannya, dan rakan di FratiniVergano - European Lawyers, serta pakar untuk pemudahan perdagangan dalam projek ARISE Plus Sokongan Integrasi Serantau ASEAN oleh EU.
Vergano berkata berbeza dengan naratif mengenai 'kematian' globalisasi baru-baru ini, respons kepada COVID-19 oleh kebanyakan negara merupakan gabungan menyekat perdagangan tertentu selain mengekalkan atau memudahkan pihak lain.
Katanya walaupun sekatan pergerakan awam dan sekatan perjalanan telah menyebabkan tekanan kepada perdagangan antarabangsa, mengekalkan perdagangan bebas dan terbuka penting untuk ekonomi ASEAN dan EU untuk terus bertahan dan memastikan akses yang berterusan kepada barangan keperluan.
"Bagi kedua-dua blok ini, menjaga hubungan rantaian bekalan (terutamanya dalaman) telah dikenal pasti oleh ASEAN dan EU sebagai matlamat utama dalam respons mereka kepada COVID-19," katanya.
-- BERNAMA
#ASEAN #CARI #COVID-19 #EU #Institut Penyelidikan CIMB ASEAN #Kesatuan Eropah #Munir Majid
;