COVID-19: Berhenti salahkan sesiapa, ini tanggungjawab kita semua - Dr Farhan
Israr Khalid
Mei 20, 2021 10:31 MYT
Mei 20, 2021 10:31 MYT
KUALA LUMPUR: Ketika kes jangkitan COVID-19 di Malaysia semakin meninggi dan membimbangkan, ramai yang menuduh kerajaan sebagai puncanya.
Benar, kepimpinan negara memang ada pincangnya dalam menguruskan pandemik ini, tetapi adakah kita rakyat secara kolektifnya sudah cukup sempurna dalam melaksanakan bahagian kita sebaiknya?
Mungkin selama ini kita terlalu bergantung harap kepada kerajaan untuk memerangi COVID-19 yang membadai negara sejak lebih setahun lalu.
Namun dalam hal ini, setiap anggota masyarakat memainkan peranan penting dalam usaha memerangi virus durjana ini.
"Sudah sampai masa kita tak perlu menyalahkan kepada mereka untuk selesaikan masalah yang kita sendiri sebenarnya boleh selesaikan bersama," kata pakar perubatan kesihatan awam Dr Farhan Rusli.
Kata Dr Farhan lagi, media sosial memperlihatkan kekecewaan rakyat dengan keadaan pandemik di negara ini, dan kata kunci ‘kerajaan gagal’ sudah mula menjadi perkataan lazim yang terlihat di ruangan komentar dan gegaris masa.
"Pada masa sama, kita juga melihat sendiri gambar dan video orang ramai bersesak-sesak di pusat beli belah dan pasar.
"Diburukkan lagi dengan paparan cerita orang kenamaan dan selebriti melanggar SOP sewenang-wenangnya.
"Rakyat Malaysia memang begitu -- nampak orang buat, dia pun mahu buat -- ada kalanya tanpa mengira implikasi baik buruknya kepada diri sendiri mahupun kepada masyarakat sekitarnya.
"Namun, tabiat itulah yang perlu diubah.
“Jadi tak perlulah kita harap siapa-siapa kerana diri kita sahajalah yang boleh mengubah situasi yang kita hadapi sekarang.
"Tengoklah diri anda, tengok keluarga anda dan sanak saudara anda. Adakah kita sendiri melaksanakan SOP sebaiknya?
“Kalau itu pun kita tak boleh buat, tak payahlah nak keluar dari kepompong kita dan menyalahkan orang lain.
"Cukuplah cari kesalahan, sekarang masanya untuk kita laksanakan tanggungjawab kita sendiri,” tegasnya.
Tambahnya, andai masyarakat tidak serius dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, tidak hairanlah kes akan terus meningkat dan memuncak sehingga tiba satu keadaan di mana ia berada di luar kawalan.
Untuk mengelakkan ia berlaku, ramai berpendapat bahawa sekatan penuh atau ‘lockdown’ adalah cara terbaik.
"Namun sebenarnya kesan pelaksanaannya sangat besar kepada ‘kesihatan’ negara.
“Ramai bertanya kenapa tidak dilaksanakan PKP seperti PKP 1.0 dahulu?
"Kita kena ingat, PKP 1.0 telah membawa kerugian sehingga RM2.6 bilion kerugian sehari kepada ekonomi negara, dan kita mungkin tak dapat ambil risiko untuk lalui benda yang sama.
“Sebab itu apabila kita melaksanakan PKP 3 dan 4, kita cuba mengimbangkan. Sehingga tiba waktu mendesak, ia (sekatan penuh) adalah langkah terakhir sekali yang boleh diambil,” kata Dr Farhan.
Walau bagaimanapun jelas Dr Farhan, sekiranya sekatan penuh terpaksa dilaksanakan, harus jelas setiap perancangan kerajaan sepanjang tempoh pelaksanaannya supaya seluruh lapisan masyarakat dapat memahaminya.
Apabila rakyat benar-benar faham apa yang ingin dicapai dengan setiap langkah dan pelan yang digariskan, barulah mereka dapat satu hati memberi kerjasama dan melaksanakan tanggungjawab untuk mencapai sasaran yang sama.
#Agenda Awani
#Dr Farhan Rusli
#pandemik
#tuduh kerajaan
#COVID-19
#PKP
#rakyat Malaysia
#SOP
#media sosial