COVID-19: "Berhenti bersikap angkuh, bongkak tangani Omnicron" - Tiong

Fadilah Sulaiman
Januari 12, 2022 14:28 MYT
Tiong menerusi kenyataannya mendakwa Khairy dan Noor Hisham tidak melakukan yang terbaik dalam memerangi wabak ini. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing mempersoal keberkesanan strategi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak diterajui Khairy Jamaluddin khususnya dalam menangani varian Omicron.
Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke China itu menyuarakan kemusykilan penularan tempatan varian Omicron jika strategi KKM untuk mencegahnya benar-benar berkesan.
“Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin boleh berhenti bersikap angkuh dan bongkak, apatah lagi mengetepikan hakikat bahawa Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah tidak melakukan yang terbaik dalam memerangi wabak ini.
“Sejak penularan wabak ini, seramai 31,696 orang telah meninggal dunia. Berbanding dengan 32 juta penduduk Malaysia, bukankah jumlah ini patut membimbangkan kita?
"Setahu saya, ini hanya meliputi data yang dilaporkan dan diterbitkan. Ia akan menjadi lebih menyayat hati untuk menambah bilangan yang tidak dilaporkan.
“Kadar kematian yang tinggi ini bukanlah sesuatu yang boleh kita nafikan, maafkan atau normalisasikan. Bagaimana kita boleh terus begini? Berapa banyak lagi nyawa yang perlu dikorbankan sebelum menteri kita benar-benar mula mencegah lebih banyak kematian?,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
BACA: Gara-gara kenyataan 'KP Kesihatan takut mati', Dewan Rakyat jadi medan bertikam lidah
Dalam pada itu, Tiong menekankan sebelum ini beliau bukanlah memberitahu Menteri Kesihatan untuk meniru strategi penutupan dan penyekatan China kerana Malaysia tidak mampu untuk melalui fasa tersebut lagi.
“Saya hanya menggesa Kementerian Kesihatan untuk sekurang-kurangnya berkomunikasi dengan China untuk mengadaptasi bahagian strategi mereka yang sesuai dan berkesan untuk mengurangkan kadar kematian COVID-19 di Malaysia dan bukannya mengubah kadar kematian untuk mewajarkan strategi KKM,” jelasnya.
BACA SEMUA BERHUBUNG VARIAN OMNICRON DI SINI
Tiong turut mempersoalkan kebolehan Pengarah Kesihatan melihat kepada prestasinya menangani pandemik sejak tempoh dua tahun lalu.
“Berapa banyak sekatan yang telah dilaksanakan dalam tempoh dua tahun yang lalu? Apakah strategi lain yang ada pada Pengarah Kesihatan? Sedia maklum bahawa terdapat menteri lain yang telah mempersoalkan Noor Hisham mengenai strategi pencegahan wabak ini.
“Sekatan di China berjaya hampir serta-merta tetapi Malaysia dibanjiri dengan lebih banyak kes walaupun dengan sekatan demi sekatan menjadikan kita bahan ketawa antarabangsa!,” katanya lagi.
Setakat 6 Januari 2022, Malaysia telah mencatatkan sejumlah 245 kes varian Omicron yang mana 233 kes merupakan kes import dari luar negara, manakala 12 kes lagi adalah penularan tempatan.
#Omicron #Khairy Jamaluddin #Tiong King Sing #Noor Hisham Abdullah
;