COVID-19: 'Berat hati ini meninggalkan sahabat-sahabatku di wad...' - Ashraf Muslim

Farhana Joni
Mei 8, 2020 16:19 MYT
Ashraf Muslim yang dijangkiti COVID-19 dan dirawat di Hospital Sungai Buloh baru-baru ini akhirnya dibenarkan pulang ke rumah pada petang Khamis. - Gambar Instagram / @ashrafmuslim
Pelakon, Ashraf Muslim yang dijangkiti COVID-19 dan dirawat di Hospital Sungai Buloh baru-baru ini akhirnya dibenarkan pulang ke rumah pada petang Khamis.
Berkongsi perkhabaran gembira itu, Ashraf menerusi status di akaun Instagram miliknya bagaimanapun agak berat hati untuk meninggalkan Wad 31 hospital tersebut.
Menurut pelakon Dia Menantu Rahsia itu, situasi tersebut berlaku kerana beliau telah menganggap pesakit-pesakit yang turut dirawat di wad yang sama seperti ahli keluarga.
"Berat hati ini untuk meninggalkan sahabat-sahabatku di wad ini. Mereka telah ku anggap sbg keluargaku.. Allahuakbar ... tak boleh nak terjemahkan perasaan ini.
"Banyak cerita, banyak pengalaman, banyak perkongsian dilakukan bersama dimana pesakit-pesakit semuanya daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang," jelasnya.
Dalam status sama, Ashraf turut menjelaskan dirinya telah bebas jangkitan COVID-19 sejak sehari sebelum Ramadan tetapi memilih untuk tinggal dan dikuarantin di hospital.
Katanya, banyak sebab keputusan itu dibuat antaranya dapat melakukan ibadah dengan pesakit-pesakit di situ.
"Saya dapat mengerjakan solat berjemaah pada bulan Ramadan dan ibadah yang dapat buat bersama-sama dgn pesakit. Ini adalah terapi hati saya untuk lebih tenang," katanya.
BACA: Pelakon Ashraf Muslim dijangkiti COVID-19
Pada 12 April lalu, Ashraf dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh selepas disahkan positif COVID-19.
Sebelum itu, Ashraf terlibat dalam penggambaran drama Demi di Scotland dan pulang ke Malaysia pada 31 Mac.
#Ashraf Muslim #COVID-19 #Dia Menantu Rahsia #Hospital Sungai Buloh #Instagram #Ramadan #Wad 31
;